Jalur Gemilang
Berita :
Masyarakat Disaran Tingkat Pengetahuan Tentang Hak Pengguna
Masyarakat Disaran Tingkat Pengetahuan Tentang Hak Pengguna
Noraini Jusoh
1 hari yang lepas
90

KUALA TERENGGANU, 24 September – Masyarakat perlu meningkatkan pengetahuan mengenai hak pengguna dan mengamalkan perbelanjaan berhemah bagi menghadapi cabaran kos sara hidup serta keadaan ekonomi semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, pengguna yang berilmu dan bijak membuat keputusan mampu membantu mewujudkan kehidupan keluarga yang lebih harmoni.

Katanya, kesedaran pengguna bukan melibatkan pemilihan barangan sahaja malah merangkumi pengetahuan mengenai hak serta keupayaan mengurus perbelanjaan dengan bijaksana.

“Kita mahu melahirkan masyarakat yang bukan sahaja tahu membeli, tetapi tahu hak, tahu memilih dan tahu mengurus perbelanjaan dengan bijaksana.

“Dalam keadaan kos sara hidup dan cabaran ekonomi semasa, pengguna yang berilmu dan bijak membuat keputusan mampu membantu membina kehidupan keluarga yang lebih terancang dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pengguna Bijak, Hidup Sejahtera di Dewan Konvensyen Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Pusat Dagangan Terengganu, di sini, hari ini.

Program tersebut dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Wanita Islam Sejahtera Terengganu (PEWANIS) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu.

Ariffin berkata, program berkenaan menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat dalam membuat pilihan yang tepat sebagai pengguna.

“Usaha sebegini perlu diteruskan bagi membentuk pengguna yang lebih cakna, bijak dan bertanggungjawab, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan pengukuhan ekonomi.

“Pengguna bijak, keluarga sejahtera, ekonomi lebih kukuh,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan