Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
Sultan Terengganu menandatangani plak pelancaran projek pembinaan Pembangunan Pusat Membeli Belah Mayang Mall, di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail |
Bandar Raya Kuala Terengganu bakal dihiasi satu lagi projek mega apabila projek pembinaan pembangunan pusat membeli-belah Mayang Mall, yang turut menempatkan pasar raya Sogo di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, bakal siap dalam tempoh empat tahun akan datang.
Projek milik Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) di bawah pengurusan Sogo (KL) Department Store Sdn Bhd dengan nilaian pelaburan projek RM900 juta itu bakal menyediakan 3,000 peluang pekerjaan kepada penduduk Terengganu.
Pembinaan Mayang Mall yang berketinggian enam tingkat dan di kawasan seluas 715,000 kaki persegi itu terbahagi kepada dua fasa, dengan fasa pertama membabitkan kos RM600 juta merangkumi apartmen setinggi 15 tingkat.
Manakala fasa seterusnya yang membabitkan pelaburan RM300 juta pula akan dilengkapi hotel setinggi 16 tingkat.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah tapak pembangunan pusat membeli belah mega itu, hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Yang Di-pertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail; Tengku Muhammad Mua'az dan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.
Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengarah Urusan Kumpulan/ Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Datuk Kamalul Arifin Othman.
Mayang Mall merupakan pusat membeli-belah mega kelima milik PHB selepas empat yang lain dibangunkan di Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka.
Sogo KL dipilih sebagai pengurus berdasarkan reputasinya dalam industri pengurusan pusat membeli-belah di Malaysia.
Berdasarkan rekod, Sogo KL menerima lebih sejuta pengunjung sebulan dan lebih 6,000 pelanggannya adalah pemegang kad ahli dari Terengganu.