Rahmatan Lil Alamin : Utamakan Masalah Rakyat - MB Terengganu

Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.


GOMBAK, 23 April - Konsep 'Rahmatan Lil 'Alamin' ataupun mana-mana slogan yang digunakan mestilah memberi keutamaan kepada menyelesaikan masalah dan bebanan rakyat.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rakyat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian agama dan bangsa adalah kelompok yang mahukan suara serta masalah mereka diselesaikan.

Jelasnya, mereka tidak kisah mengenai slogan atau moto menarik yang dilaungkan oleh mana-mana kerajaan.

Katanya lagi, kerajaan juga mestilah berperanan dalam menyelesaikan beban rakyat kerana perkara itu secara tidak langsung akan memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai slogan yang menjadi dasar kerajaan.

“Kita hidup dalam ‘simple society’, rakyat tidak kisah tentang slogan dan moto ataupun prinsip menarik yang dilaungkan.

“Sama ada rahmatan lil ‘alamin ataupun baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur, apa yang sebenarnya mereka mahukan adalah mereka mahu masalah sebenar mereka diselesaikan di setiap segmen dan peringkat.

“Jadi sebagai sebuah kerajaan, yang pertama kita kena terangkan pada rakyat, apa yang menjadi keutamaan untuk diselesaikan dan apa langkah-langkah yang kita akan ambil,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab dalam program bersiri yang bertajuk Malaysia : Model of Rahmatan Lil ‘Alamin di Pusat Kebudayaan (ICC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, semalam.

Antara mahasiswa yang bertanyakan soalan.
Turut hadir, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UIAM, Dr. Zulkifli Hasan, Penasihat Ma’ruf Club (MC) UIAM, Dr Nik Abd Saiful Azizi Nik Abdullah, Pengarah Program, Md Hisyam Yunus, pensyarah-pensyarah UIAM serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai langkah Terengganu dalam berinteraksi dengan golongan LGBT, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya mengambil pendekatan yang harmoni dan bersesuaian dengan konsep itu.

Selain mengenakan hukuman yang sudah terkandung dalam undang-undang, kerajaan negeri turut menekankan konsep pendidikan bagi memberi kesedaran kepada golongan itu.

“Cabaran berkait isu ini di Terengganu sudah tentu berbeza dengan peringkat Persekutuan, yang mempunyai lebih banyak cabaran.

“Tahun lepas kita ada satu kes, yang mana kita ada cara dan langkah kita melalui enakmen yang ada dalam undang-undang negeri.

“Dalam masa yang sama kita juga adakan proses didikan, didik mereka tentang masalah itu di setiap peringkat oleh jabatan agama,” tambah beliau.

Ahmad Samsuri menegaskan, rakyat tidak mahu hanya mendengar slogan retorik semata-mata.


Tag: