Rakyat Puji Kerajaan Anjur Program Terap Amalan Hidup Sihat

KUALA TERENGGANU, 12 November - Program dan aktiviti yang dianjurkan kerajaan negeri dalam mengalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat menerima pujian ramai daripada pelbagai anggota masyarakat.

Salah seorang peserta Terengganu Drawbridge Half Marathon, Alia Amirah Amin, 36, berkata acara yang diadakan itu menjadi satu galakan kepada rakyat agar menjalani kehidupan sihat dan dapat menghindari diri daripada sebarang penyakit.

"Bukan sahaja akan memiliki tubuh badan yang sihat dan bebas daripada penyakit, malah dapat melakukan aktiviti yang sangat menyeronokkan ditambah pula Terengganu kita ini memiliki pemandangan yang menarik.

"Sambil berlari dapat menikmati keindahan alam ini dari Pantai Batu Buruk sehinggalah ke Teluk Ketapang dan juga ketika melintasi Jambatan Angkat Kuala Terengganu ini, usaha ini perlu dilakukan secara berterusan oleh kerajaan negeri.

"Bagi memastikan hasrat untuk menjadi sebuah negeri maju dapat direalisasikan, sudah tentu rakyat juga perlu dipastikan berada dalam keadaan yang sihat. Bagi saya program seumpama ini sangat baik setelah lama tidak ada program seumpama ini terutama ketika dunia dilanda pandemik Covid-19," ujarnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada program Terengganu Drawbridge Half Marathon, di Perkarangan Dataran Awam Pantai Baru Burok, di sini, semalam.

Dalam pada itu Alia menyatakan usaha kerajaan memperhebatkan program seumpama itu membuktikan kerajaan negeri cakna serta mengambil peduli tentang rakyat.

"Selain akan memastikan badan sentisa sihat, otak sentiasa cerdas untuk melakukan segala pekerjaan.

"Sekali gus usaha ini juga akan menarik ramai pelancong untuk datang ke Terengganu bagi menyertai apa jua program dan acara yang diadakan kerana kita memiliki trek untuk berbasikal serta 'joging' yang tarikan keindahannya tidak ada di tempat yang lain," katanya.

Seorang lagi peserta, Mohd Fadzillah Kasim, 40, berkata program terbabit dapat mempromosikan kehidupan sihat kepada rakyat dam ia juga akan mempopularkan Terengganu.

"Apa jua program diadakan secara terbuka ia akan mendapat sambutan bukan sahaja dari rakyat Terengganu bahkan orang dari luar negeri ini.

"Saya harap kerajaan negeri kekalkan serta perbanyakkan program seumpama ini dengan menjadikan lokasi yang menarik sebagai tempat untuk diajurkan acara seumpama ini.

"Insya-Allah Terengganu sendiri sebenarnya memiliki ramai 'runner' serta bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan, apabila ada 'event' seumpama ini maka mereka akan lebih bersemangat untuk berlatih bagi menyertai acara ini," katanya.