Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
KUCHING, 21 Ogos- Turun menyaksikan acara olahraga yang dipertandingkan pada SUKMA XXI di Stadium Sarawak semalam, bapa angkat pasukan olahraga Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah merakamkan pujian kepada penganjur temasya sukan terbesar itu.
"Saya rasa penganjuran SUKMA ini sungguh meriah, kalau dapat dilihat pada malam pembukaannya sudah bertaraf antarabangsa.
"Tahniah kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta kerajaan negeri Sarawak atas pengurusan pertandingan yang sempurna.
"Setakat ini, sedikit-sedikit (kekurangan) itu lumrah. Sedia maklumlah, mengendalikan temasya yang besar ini bukanlah mudah untuk memuaskan hati semua orang.
"Sarawak berjaya, tahniah," katanya ketika ditemui di venue sukan olahraga yang menyaksikan Terengganu meraih dua pingat emas melalui acara 4×400M wanita dan 110M lari berpagar lelaki.
Wan Sukairi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri sangat bersyukur dan gembira kerana sasaran yang ditetapkan kepada olahraga masih berjaya dicapai.
"Alhamdulillah, semua atlet yang disenaraikan berada dalam keadaan sihat dan begitu bersemangat menggalas tugas yang diamanahkan rakyat Terengganu kepada mereka," katanya.
Tambahnya, pasukn olahraga akan bersaing selama dua hari lagi dan berharap akan terus berjaya 'mencuri' pingat dari pesaing-pesaing terkuat di lapangan.