KUALA TERENGGANU, 19 April – Terengganu menyasarkan seramai 258,000 penerima vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat negeri yang bermula hari ini sehingga Ogos 2021.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, fasa itu akan memberi keutamaan kepada golongan warga emas, golongan yang mempunyai penyakit atau co-morbid dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Program imunisasi menyeluruh ini adalah bertujuan untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19.

“Ringkasnya, imunisasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga individu yang tersayang dan sesiapa sahaja yang berada di sekeliling kita termasuklah ahli keluarga, rakan sekerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran PICK Fasa dua Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Kampung Laut, Chendering, sebentar tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Zahari Md Azahar, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus serta Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah.

Tambah Ahmad Samsuri, fasa tiga akan bermula pada bulan Mei 2021 dan dijangkakan akan berakhir pada hujung tahun 2021 yang melibatkan golongan dewasa yang berumur 18 tahun dan ke atas.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak memaklumkan, peringkat permulaan fasa kedua melibatkan tiga buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu Pusat Sains dan Kreativiti Kuala Terengganu (PSKT), Dewan Dato' Seri Amar Diraja, Kemaman dan Dewan Serbaguna Sungai Tarom, Setiu.

"Manakala untuk bulan Mei dan seterusnya bilangan PPV Awam akan ditambah berdasarkan keperluan dan keadaan semasa," ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pesara kerajaan, Khalid Salleh, 61, menjadi diantara individu pertama dalam kira-kira 150 lebih warga sasar yang disuntik vaksin sempena pelancaran fasa dua peringkat negeri.

Dia menerima suntikan kira-kira jam 10 pagi tadi oleh jurusuntik Noraini Mohd Mokhtar, seorang Ketua Jururawat Kesihatan.

Khalid yang berasal daripada Kampung Manir berkata, dakwaan akan wujud kesan sakit keterlaluan selepas divaksin adalah tidak benar.

Khalid Salleh setelah selesai disuntik vaksin

“Kita ada rasa juga, macam digigit semut sahaja. Oleh itu, saya ambil peluang mengajak seluruh warga emas dan orang ramai supaya tidak takut, daftar dan tampil untuk divaksin segera.

“Mana-mana pihak yang sebarkan perkara tidak sahih berkaitannya, kita elakkan, Insya-Allah dengan ikhtibar ini kita serahkan kepada Allah SWT,” jelasnya ketika ditemubual pemberita.