Jalur Gemilang
Berita :
Sasaran 20,000 Peluang Pekerjaan Satu Penggal Berjaya Dicapai
Sasaran 20,000 Peluang Pekerjaan Satu Penggal Berjaya Dicapai
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
96

KUALA TERENGGANU, 5 Oktober – Sasaran menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh satu penggal di Terengganu berjaya dicapai, sekali gus menunjukkan usaha memperluas akses pekerjaan kepada rakyat negeri ini terus mencatat perkembangan positif.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, pencapaian berkenaan melibatkan peluang pekerjaan yang disediakan di Terengganu sahaja.

Menurutnya, kerajaan negeri pada masa sama terus menggalakkan anak Terengganu merebut peluang kerjaya berdasarkan kelayakan dan bidang masing-masing, termasuk peluang yang tersedia di luar negeri.

“Alhamdulillah, sasaran kita untuk menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh sepenggal lalu telah tercapai bagi mereka yang bekerja di Terengganu sahaja.

“Dan tentulah kita membuka peluang kepada anak Terengganu ataupun tidak menghalang mereka untuk bekerja di luar,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Ariffin berkata, usaha memperluas akses pekerjaan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan pelbagai agensi dan syarikat swasta bagi membolehkan lepasan universiti, mahasiswa serta golongan muda mendapatkan peluang kerjaya yang bersesuaian.

Dalam perkembangan sama, Terengganu merekodkan 11,269 tawaran kerja dari Januari sehingga 8 Julai 2026 dengan sektor perkhidmatan menyediakan peluang terbesar, iaitu 8,159 kekosongan atau 72 peratus.

Sektor pembuatan pula menawarkan 1,801 kekosongan atau 16 peratus, diikuti perlombongan dan pengkuarian sebanyak 704 (enam peratus), pembinaan 508 (lima peratus), manakala pertanian, perhutanan dan perikanan sebanyak 93 kekosongan (satu peratus).

Beliau berkata, golongan berusia antara 20 hingga 24 tahun merupakan kumpulan terbesar yang direkodkan sebagai pencari kerja dengan 4,475 orang atau 42 peratus.

“Pihak PERKESO aktif mengadakan program profiling pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah sebagai persediaan mereka mencari pekerjaan apabila tamat belajar kelak,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 1,999 penempatan kerjaya telah dilaksanakan setakat ini menerusi program pencarian pekerjaan anjuran PERKESO daripada lebih 11,000 peluang pekerjaan yang direkodkan.

Usaha padanan pekerjaan akan terus diperkukuh kerana pengisian sesuatu kekosongan bergantung kepada kesesuaian kelulusan, minat dan keupayaan calon dengan keperluan majikan.

“Usaha berterusan dibuat sama ada oleh pihak Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC) mahupun PERKESO untuk memaklumkan peluang-peluang pekerjaan,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memperluas peluang pekerjaan dan meningkatkan keberkesanan padanan kerjaya untuk anak Terengganu.

“Insya-Allah, yang terbaik kita akan usahakan supaya tiada ataupun berkurangnya pengangguran dalam kalangan anak-anak Terengganu yang ada sekarang,” tambah beliau.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan