![]() |
Haji Atemin Sulong berucap di Wisma Darul Iman semalam. |
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SATU, Haji Atemin Sulong berkata, kit berkenaan bernilai RM300 setiap satu merupakan usaha SATU memanfaatkan dana tanggungjawab korporat sosialnya(Corporate Social Responsibility-CSR) berjumlah RM13.5 juta tahun lalu.
Katanya, kit tersebut yang diedarkan mulai semalam dan hari ini ke 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kawasan parlimen merupakan sebahagian daripada dana CSR tersebut serta 10 peratus daripada hasil kutipan tahun lalu.
Menurut beliau, setiap kawasan DUN dan Parlimen menerima 50 kit tersebut bagi kemudahan orang ramai untuk pengurusan jenazah.
![]() |
Haji Atemin menunjukkan kit pengurusan jenazah yang diedarkan SATU ke seluruh negeri Terengganu mulai semalam. |
"Saya berharap dengan limpah kurnia Ilahi pada tahun ini, kita (SATU) akan tambah lagi sumbangan berbentuk CSR ini bagi membantu kerajaan negeri dalam membantu rakyat (yang memerlukan bantuan)," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Kit Pengurusan Jenazah kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Tingkat U2 Wisma Darul Iman di sini semalam.
Turut hadir, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, semua Ahli Parlimen dan ADUN Terengganu, pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri dan ketua-ketua penyelaras DUN.
Dr Ahmad Samsuri merasmikan majlis penyerahan tersebut dengan mengadakan gimik pelancaran dan menyerahkan kit berkenaan kepada Ahli Parlimen, ADUN dan Ketua Penyelaras DUN.
Haji Atemin seterusnya berkata, SATU adalah syarikat pengurusan air negeri untuk rakyat seluruh negeri Terengganu.
Sumbangan CSR dikembang kepada seluruh rakyat melalui tanggungjawab korporat sosial dan subsidi air termasuk untuk kegunaan bayi yang baru lahir sehingga ke pengurusan jenazah.
![]() |
Wakil rakyat yang hadir di Wisma Darul Iman Kuala Terengganu semalam. |
Menurut beliau, SATU turut memberi sumbangan sebanyak RM5 juta kepada Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) bagi urusan pelbagai pembiayaan untuk ibu tunggal.
"Ibu tunggal pun SATU bagi sumbangan hampir RM5 juta pada 2018. Dan sekarang ini untuk warga Terengganu yang sihat tubuh badan yang gemar menjalankan aktiviti sukan berkuda, main bola pun SATU bagi bantuan (melalui saluran-saluran tertentu).
"Manakala yang sakit SATU bagi bantuan dalam bentuk perubatan dan hari ini (semalam) SATU bagi kit untuk pengurusan jenazah," ujarnya lagi.
Sementara itu katanya, pada 2019, SATU akan memperbesarkan lagi bantuan CSR dengan izin Tuhan dan rezeki yang diperolehi.