'Saya Berehat Bila Saya Mati' - Abdul Hadi

Ayah Cik (kiri) bersama Ustaz Azhar di Rusila semalam.
MARANG, 25 April - Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang hanya akan berhenti daripada menjalankan kerja-kerja agama apabila kembali kepada Pencipta.

"Ditanya soalan oleh seorang sahabat, bilakah waktu untuk berehat daripada kerja-kerja agama, saya jawab, 'bila liang lahad mula digali'.

"Semoga Allah tetapkan hati kita bersama di atas jalan agama Islam dan perjuangannya," tulis beliau dalam status facebooknya semalam.

Sebelum itu, pada sebelah pagi, Tuan Guru Abdul Hadi dikunjungi oleh Murabbi Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus di rumah anak lelakinya Yusof Abdul Hadi di Pesisir Pantai Rusila, di sini.

Para tetamu dijamu selera dengan nasi dagang.
"Pagi ini (semalam) menerima kunjungan tetamu Ustaz Azhar Idrus di rumah anakanda Yusuf dan menjamu sarapan nasi dagang," jelasnya.

Menjadi kebiasaan mana-mana tetamu Presiden PAS itu, mereka akan dijamu dengan nasi dagang sesuai dengan suasana pagi dan tradisi makanan masyarakat Melayu Islam Terengganu.

Pertemuan Ustaz Azhar dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang dikenali masyarakat Rusila sebagai Ayah Cik itu bukan kali pertama diadakan.

Difahamkan tidak kurang dari tiga kali mereka berjumpa dalam kesempatan tertentu sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Ini menunjukkan hubungan kedua-duanya amat erat apa lagi kedua-duanya memainkan peranan besar dalam usaha mendidik anak Negeri Terengganu khususnya dan rakyat Malaysia amnya dengan agama dan perjuangan Islam.

Ustaz Azhar mempunyai jadual kuliahnya tersendiri termasuk di Masjid Rusila di sini yang juga menjadi tempat Tuan Guru Abdul Hadi berkuliah setiap pagi Jumaat, jika tidak berkeuzuran.

Antara kitab terpenting pernah dihuraikan oleh Tuan Guru Presiden PAS itu di masjid berkenaan ialah Petunjuk Sepanjang Jalan karangan Asy Syahid Syed Qutb, pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir yang mati di tali gantung (1906-1966).

Kitab itu diajar oleh Tuan Guru Abdul Hadi secara terbuka di masjid itu, setiap malam selasa sekitar tahun 1980-an, sehingga tamat.


Tag: