Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Kesedaran mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) dalam kalangan individu terutamanya usahawan dalam negeri masih perlu diwar-warkan supaya golongan tersebut tidak terlepas bantuan dan manfaat.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, apabila Kerajaan Persekutuan menurunkan bantuan melalui Perkeso seperti Program Subsidi Upah (PSU), hanya 30 peratus usahawan Terengganu yang layak menerimanya.
“Ini berlaku kerana kebanyakan mereka tidak pernah berdaftar dengan pertubuhan tersebut, situasi ini merugikan kerana walaupun besar peruntukan insentif, tetapi tidak digembleng dengan sebaiknya.
“Oleh itu, melalui kolaborasi bersama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), sesiapa yang menjadi ahli Sahabat Usahawan Terengganu (SUT), ini menjadi lesen kepada mereka untuk layak dapat permohonan dengan Perkeso.
“Sehingga kini, senarai berdaftar hanya mencatatkan 6,000 usahawan sahaja, tetapi Perkeso bersetuju untuk jadikan kita sebagai rakan strategik, keahlian SUT kini mencecah lebih 9,800 usahawan,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.
Tambah Nurkhuzaini, beliau juga menggalakkan individu bekerja untuk mendaftar terus melalui Perkeso.
“Kepentingan dalam mencarum adalah supaya mempunyai perlindungan sekiranya terjadi sebarang kejadian tidak diingini semasa mereka bekerja.
“Contohnya, jika ditimpa kemalangan jalan raya, jika didaftar pencarum akan mendapat bantuan kelas pertama, jika masuk wad ada elaun Perkeso. Jika ada kecacatan akibat kemalangan akan mendapat imbuhan, jika ada kematian, keluarga si mati akan dapat manfaat.
“Rakyat perlu faham dan manfaatkan sebaik mungkin bak kata pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’. Kos bagi mendaftar juga minimum serendah lingkungan RM100 hingga RM200 sahaja,” jelasnya.