Kerajaan Optimis Tiada Hotel 'Gulung Tikar'
KUALA TERENGGANU, 17 Februari – Kerajaan Terengganu optimis tiada hotel di negeri ini gulung tikar walaupun sedang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, berbanding dengan negeri sebelah barat bisnes penginapan itu telah banyak ditutup.
“Di Terengganu hotel bajet hingga bertaraf tiga dan empat bintang, tiada yang tutup operasi atau dijual, ia adalah suatu tanda baik dalam menghadapi kemelesetan akibat pandemik.
“Ada juga pengusaha hotel kini mengambil inisiatif mengadakan jualan makanan pandu lalu, penghantaran makanan, hidangan bajet seperti diceburi oleh Duyong Marina & Resort, Grand Continental, Taman Tamadun Islam dan lain-lain lagi,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI.
Menjawab persoalan tentang langkah menjual makanan pandu lalu dan berkonsep nasi bajet bakal merugikan peniaga kecil, Ariffin berkata, ia tidak berbangkit.
"Ini kerana ia tidak menjurus kepada keuntungan tetapi memberi semangat kepada sektor perhotelan walaupun tidak mampu liputi kos tahunan.
“Contohnya seperti Primula Beach Hotel melalui Primula Barakah dengan menerima bantuan dana daripada sesiapa sahaja untuk pengagihan makanan bagi mereka yang memerlukan," katanya lagi.
Tambah Ariffin, kerajaan negeri turut memainkan peranan melalui insentif khas buat pengusaha hotel melalui Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Negeri Terengganu yang menerima pengecualian cukai taksiran bagi tahun 2020 yang terjejas akibat PKP.
“Buat masa sekarang, kita sedang dalam proses kajian bagi menyelesaikan beberapa isu dalam melancarkan pelaksanaan kerana ia tidak melibatkan keseluruhan sektor perhotelan dan penginapan dalam negeri.
“Setiap hotel juga berbeza dalam kiraan bayaran cukainya, ada yang RM10,000 dan ada sehingga RM1,000,000,” jelasnya.