Singgah Sahur Bantu, Santuni Asnaf Pulau Duyong - Dr Khairruddin


Dr Khairuddin (depan) bersama Sham Fadzli (paling kanan) menyantuni seorang warga emas.
KUALA NERUS, 31 Mei - Duyong Marina & Resort (DMR) Terengganu telah menganjurkan program Singgah Sahur membabitkan beberapa buah kampung di sekitar Pulau Duyong, di sini semalam.

Program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Khairuddin Aman Razali yang mengetuai konvoi program berkenaan.

Menurut Dr Khairuddin, usaha melalui anak syarikat kerajaan negeri itu adalah untuk membantu mengurangkan beban golongan miskin bagi menghadapi musim perayaan.

Katanya, hasil yang diperoleh termasuk keuntungan perniagaan mesti dikongsi bersama rakyat agar semua dapat merasai nikmat kesenangan.

"Apa yang kita buat adalah suatu inspirasi untuk sama-sama mengajak masyarakat luar menyumbang kerana kewajipan untuk membantu orang susah adalah tanggungjawab semua.

"Program ini kita akan teruskan lagi pada masa akan datang dengan skop yang lebih besar," katanya ketika ditemui selepas program itu.

Bantuan keperluan dapur dan duit raya raya sedikit sebanyak membantu golongan ini.
Hadir sama dalam program itu ialah Pemangku Pengurus Besar DMR Terengganu, Sham Fadzli Yusof serta Ketua Eksekutif Syariahnya, Zulhafeez Ahmad Zahidi.

Dr Khairuddin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah DMR Terengganu turut berkata, program kebajikan di bawah DMR itu tidak hanya tertumpu pada program berkenaan.

"Untuk anak yatim sahaja kita bagi makan (berbuka) lebih daripada 200 orang sepanjang Ramadan ini.

"Dan kita juga mengalu-alukan mereka yang nak menyumbang untuk anak-anak yatim, kami ada banyak senarai anak yatim yang boleh dibantu," tambah beliau.

Dalam program itu, sebanyak 6 buah kereta bersama kira-kira 40 ahli DMR Terengganu berkonvoi ke 20 rumah terpilih bagi mengagihkan barangan dapur dan sumbangan duit raya bermula jam 11.30 malam.

Destinasi terbabit melibatkan empat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal.




Tag: