Siswazah Menganggur Perlu Bijak Manfaat Teknologi Untuk Tambah Pendapatan




Golongan belia terutama siswazah menganggur di negeri ini dinasihatkan memanfaatkan kemudahan teknologi dan media sosial untuk menceburi dunia perniagaan di alam maya sebagai sumber pendapatan.

 Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia Dan Tugas-Tugas Negeri, Ghazali Taib berkata, golongan itu perlu bijak menggunakan peluang yang ada di depan mata sebagai sumber mata pencarian dan jangan bergantung kepada kelulusan semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan.

"Kalau kita lihat pada hari ini,ramai yang menjadi pengusaha atas talian dan berjaya menjadi jutawan seperti Dr Vida yang kini merupakan salah seorang usahawan wanita yang berjaya.

"Apabila seseorang nak berjaya,dia harus buang perasaan malu kerana jika kita ada perasaan ini...sukar untuk membuat promosi barangan.

"Lihat sahaja Dr Vida..tanpa rasa malu dan segan,beliau buat apa sahaja untuk lariskan barangannya.Terkini kalau kita lihat video lagunya yang menjadi tular,yang mana telah meningkatkan lagi namanya dan produk keluarannya dikalangan masyarakat,"kata Ghazali bagi menjawab persoalan seorang beliawanis yang mahu peluang pekerjaan lebih terbuka kepada hampir 54 rbu golongan belia siswazah yang masih menganggur.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Ajil berkata demikian  ketika menjadi ahli panel di Program Tautan Budi Peringkat DUN Ajil anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) di Dewan Siviks Ajil, Hulu Terengganu, malam tadi.

Turut sama bertindak sebagai panel pada majlis itu, Pengarah UKOM, Dato’ Muda Mamat dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas(JASA), Adli Kesah sebagai moderator.

Seramai 200 belia dari sekitar Ajil turut hadir sebagai tetamu di majlis dialog tersebut.

Ghazali turut menasihatkan para belia dan beliawanis sentiasa memandang ke hadapan dalam semua aspek demi masa depan yang terbaik.

"Jangan berhenti berusaha,teruskan mencari pengetahuan kerana usaha adalah tangga kejayaan demi melahirkan masyarakat yang  cemerlang dalam mentransformasikan pelbagai aspek untuk mencapai negara yang hebat,"katanya.

Tag: