SJR Di Terengganu Diperketatkan Mulai Tengah Malam Sabtu

KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu akan memperketatkan sekatan jalan raya (SJR) di semua pintu keluar masuk ke negeri ini sepenuhnya bermula jam 12.01 tengah malam, Sabtu ini.

Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik berkata, dalam tempoh awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pihaknya lebih bertimbang rasa supaya masyarakat membiasakan diri dengan pelaksanaan semula perintah kawalan itu.

Katanya, ia lebih kepada memberi nasihat dan peringatan kepada pengguna jalan raya agar sentiasa beringat dengan pelaksanaan PKPB yang diumumkan kerajaan sebelum ini di SJR 24 jam di lima pintu sempadan keluar dan masuk negeri.

"Dalam tempoh empat hari ini, SJR mengutamakan pendekatan mendidik dan memberi amaran, selain turut bertolak ansur tetapi bermula jam 12.01 tengah malam Sabtu, kami akan memperketatkan penguatkuasaan dengan melakukan pemeriksaan rapi ke atas kesemua kenderaan.

"Setiap kenderaan yang ditahan akan diperiksa selain wajib menunjukkan surat kebenaran rentas negeri yang sah dan sekiranya gagal berbuat demikian, kami tidak akan teragak-agak meminta mereka berpatah balik atau kompaun serta merta dikeluarkan kepada yang didapati gagal mematuhi arahan.

"Bermula tempoh itu juga, had pergerakan keluar masuk kenderaan hanya dibenarkan sehingga 12 tengah malam sahaja," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Terengganu membuat lima sekatan jalan raya di sempadan negeri ini sepanjang tempoh dua minggu pelaksanaan PKPB selama 24 jam itu membabitkan dua daerah iaitu di Besut dan Kemaman.

Di Kemaman, sekatan dilakukan di tiga lokasi iaitu di kawasan rehat dan rawat (R&R) Perasing di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di samping di Plaza Tol Cheneh dan Paya Berenjut manakala di Besut pula di Pachakan dan Tok Saboh.

Bagi kawasan Jerteh dan Bukit Yong, ia akan diambil alih Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, Kelantan.

Roslee berkata, SJR itu bagi memastikan tiada individu dari zon merah melepasi masuk ke negeri ini. 


Tag: