Skuad Bola Jaring Sasar Emas Di SUKMA Johor 2020

 

KUALA TERENGGANU, 29 September - Skuad bola jaring Terengganu mensasarkan pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020 yang akan berlangsung di Johor Bahru April tahun depan.

Bapa angkatnya, Zuraida Md Noor berkata taruhan itu bersandarkan semangat pasukan yang luar biasa dan semangat kesukanan yang tinggi.

"Sebelum ini, pasukan kita dah menentang empat negeri dalam beberapa perlawanan.Walaupun kita menang hanya dua tetapi ia menggambarkan satu strategi kekuatan dan mencari kelemahan pasukan.

"Kita memang target satu sahaja iaitu emas dan menang dengan penuh bergaya, Insya-Allah.

"Kita turunkan pemain terbaik dan berpengalaman dalam sukan ini selain mereka mempunyai kecergasan fizikal yang tinggi untuk menghadapi pihak lawan," katanya.

Zuraida yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita berkata demikian pada sidang media di Majlis Ramah Mesra Bersama Pasukan Bola Jaring SUKMA XX Johor 2020.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran negeri, Khairul Azham Mohd Yusoff yang merupakan jabatan angkat sukan berkenaan.

Seramai 16 atlet bola jaring negeri yang bakal beraksi di SUKMA XX Johor telah menjalani pelbagai latihan sejak Januari 2019 termasuk menyertai perlawanan persahabatan dan menyertai kejohanan negeri turut diraikan dalam majlis yang sama.

Sementara itu, Pengurus Pasukan, Wan Sarimah Wan Razak berkata beliau yakin Terengganu berupaya memberi tentangan sengit pada temasya kali ini.

"Saya yakin pasukan bila jaring akan berjaya ke peringkat akhir untuk kejohanan sukma sebab kita sudah berusaha dari sekarang dengan latihan yang lebih intensif.
 
"Walaupun tidak berjaya sebelum ini dalam kejohanan SUKMA terdahulu, ia bukan salah satu ukuran untuk terus maju dan saya yakin dengan persediaan yang lebih lama dapat membantu dalam temasya kali ini,"ujarnya.

Beliau turut berkata, dengan pemain berpengalaman, pihaknya sudah bersedia untuk turun beraksi bagi mencapai sasaran  dalam memburu kejuaraan pada SUKMA XX Johor 2020. 

"Saya harap pasukan kami akan mempamerkan aksi yang baik pada kali ini dan sekali gus dapat menyumbang pingat kepada kontinjen negeri," katanya.


Tag: