'Sudah Lama Saya Idamkan Kerusi Roda'

Kerusi roda baharu ringankan beban Mohamad.

Oleh : Izzat Al-Qushairi

SETIU, 13 Julai - Derita yang dihadapi seorang warga emas, Mohamad Abdullah,74, sejak enam tahun yang lalu akibat kencing manis berakhir apabila menerima sebuah kerusi roda.

Kesihatan Mohamad yang tinggal di Kampung Wakaf Chagak semakin  merosot dan tidak mampu berjalan dengan sempurna dan melakukan aktiviti harian dengan sempurna.

 “Sebelum ini saya tidak mempunyai kerusi roda. Sekarang Alhamdulillah,  Allah telah menghantar rezeki kepada saya, yang lama saya idamkan sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Dia berkata demikian semasa ditemui media selepas menerima bantuan kerusi roda baharu daripada Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Shafizi Ismail, di Kampung Wakaf Chagak, di sini kelmarin.

Turut hadir dalam majlis itu, Penolong Hal Ehwal Masyarakat DUN Batu Rakit, Mohd Fadhol Ismail, Pegawai Khas Penyelaras DUN Batu Rakit, Adli Ngah dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Wakaf Chagak, Che Rahim Che Harun.


Tambah anak Mohamad, Amirul Asyraf Mohamad, dia terharu dengan sumbangan dan keprihatinan semua pihak yang membantu meringankan beban ayahnya.

“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kerana sudi meringankan beban ayah dan sudi menziarahi kami.

“Sejak enam tahun lalu ayah saya menghidap kencing manis, Insya-Allah dengan adanya kerusi roda ini urusan kami sekeluarga semakin teratur dan mudah terutama ketika ingin menguruskan ayah,” tambah Amirul.

Sementara itu, menurut Shafizi, pihaknya bersyukur kerana dapat menyumbangankan sebuah kerusi roda untuk memudahkan pergerakan Mohamad.

Katanya lagi, ia secara tidak langsung akan memudahkan urusan Mohamad sekeluarga untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik tanpa membebankan ahli keluarga yang lain.


“Insya-Allah bantuan yang khusus akan diberikan kepada mana-mana pertubuhan atau individu yang ditimpa masalah kerana kita sebagai satu ummah perlu bersatu padu dalam menangani ujian yang mendatang bak kata pepatah berat sama dipikul ringan sama dijinjing,” kata beliau lagi.

Tag: