lightning-solid
Berita :
SUKMA 2026: Karate Tambah Emas, Sasar Satu Dapat Dua
SUKMA 2026: Karate Tambah Emas, Sasar Satu Dapat Dua
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
51

SHAH ALAM, 23 Ogos - Kontinjen karate Terengganu berjaya meningkatkan kualiti pencapaian SUKMA Selangor 2026 apabila meraih dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

Berbanding temasya edisi 2022 di Sarawak, Terengganu hanya meraih satu emas diikuti empat perak dan dua gangsa.

Jurulatih Karate, Muhammad Fayyadh Sukeri berkata, pencapaian itu melebihi sasaran awal pasukan yang hanya meletakkan sasaran satu emas.

"Alhamdulillah, prestasi atlet setakat ini amat memberangsangkan dan seperti apa yang kita jangkakan kita target untuk satu emas. 

"Tapi satu bonus bila kita dapat dua emas, satu perak dan satu gangsa yang datang daripada (atlet) perempuan," katanya ketika ditemui di Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC), hari ini.

Dua emas Terengganu disumbangkan Nur Rasyiqah Fari'ah Razmi dalam disiplin Kata Wanita, manakala Mirza Athirah Sahira meraih emas dalam acara Kumite Wanita bawah 68 kilogram (kg).

Mirza Amirah Syuhada pula menyumbang perak dalam Kumite Wanita melebihi 68kg, sementara Fatin Najihah melengkapkan kutipan dengan gangsa dalam Kumite Wanita bawah 55kg.

Menurut Fayyadh, kejayaan kali ini lebih bermakna apabila Terengganu berjaya menukar lebih banyak peluang ke final kepada pingat emas meskipun hanya tiga atlet berjaya melangkah ke perlawanan akhir.

"Berbanding tahun lepas, tahun lepas kita ke lima perlawanan akhir, satu emas, empat perak dan dua gangsa.

"Cuma untuk tahun ini kita dapat dua emas, kita 'convert', jadi kita kekurangan pingat tapi kita dapat lebihkan kepada emas," katanya.

Dalam pada itu, Fayyadh berkata tiga atlet Kumite Terengganu iaitu Mirza Athirah, Mirza Amirah dan Fatin Najihah menamatkan penampilan mereka di pentas SUKMA kali ini.

Bagaimanapun, Nur Rasyiqah yang baru pertama kali menyertai SUKMA pada usia 16 tahun masih mempunyai peluang untuk beraksi pada dua edisi akan datang.

Katanya, Rasyiqah mula berkecimpung dalam karate sejak usia 12 tahun sebelum diberi peluang mewakili Terengganu dan membuktikan keupayaannya dengan menyumbang pingat emas pada penampilan sulung SUKMA.

"Jadi masa tu kita dapat ambil dia untuk wakil untuk Terengganu dan alhamdulillah dia berjaya membuktikan yang dia mampu untuk membawa pulang pingat emas," jelasnya ketika mengulas kejayaan Rasyiqah.


Artikel Berkaitan