KUCHING, 13 Ogos- Pasukan kriket Terengganu mengejutkan juara bertahan, Perak apabila menang dengan dua wicket pada aksi pertama peringkat kumpulan di Sukan Malaysia SUKMA XXI Sarawak, hari ini.
Pada perlawanan yang berlangsung di Padang Kriket dan Ragbi Sarawak itu Perak terlebih dahulu beraksi garang pada innings pertama melalui Afiq Syakir yang melakukan 36 larian dan Norman Haiqal sebanyak 27 larian, tertinggi bagi pasukan mereka.
Manakala, pembaling Terengganu, Fathul Muin mendominasi balingan dengan dua wicket dan 14 larian.
Memasuki innings kedua, Terengganu bermula perlahan apabila hanya mendapatkan 49 larian/ 5 wicket ketika berbaki 9.4 over.
Namun, selepas itu kejutan demi kejutan dilakukan dengan gandingan pemukul Akmal Naqib dan Shahmil Adam berjaya mendapatkan 109 larian buat Terengganu.
Sekalipun kapten Perak, Haiq Aiman berjaya menyingkirkan Shahmil Adam, ia sudah terlambat untuk Perak kekal mendahului sehingga tamat perlawanan keranan Hanelang hanya memerlukan dua larian untuk mengatasi mereka.
Terengganu mencapai 111 larian hasil gandingan Akmal dan Irwan Syah dan menang dengan dua wicket.