Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru agar bakal jemaah haji menjaga kesihatan masing-masing dan mematuhi nasihat yang diberikan oleh Tabung Haji dan pegawai kesihatan di Tanah Suci.
Baginda bertitah, walaupun dalam kesibukan melakukan ibadah aspek kesihatan perlu dititikberatkan.
"Beta difahamkan bahawa cuaca pada musim haji ini agak panas.
"Bakal jemaah juga perlu menjaga kebersihan diri supaya tidak mudah dijangkiti penyakit penyakit yang boleh mengganggu ibadah. Jika ada masalah kesihatan segeralah ke klinik klinik Tabung Haji di Mekah atau Madinah untuk mendapatkan rawatan," titah baginda.
Titah ucapan baginda yang dibacakan oleh Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan.
Tengku Muhammad Ismail berkenan berangkat ke Majlis Pelepasan Bakal Jemaah Haji Tahun 1438H/2017M di TH Hotel & Convention Centre, Kuala Nerus, hari ini.
Turut berangkat kekanda Tengku Nadhirah Zahrah serta adinda baginda, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz' Zahra.
Hadir menyambut baginda Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, To' Puan Seri Halina Zakaria.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Dalam titah baginda juga menyeru, bakal jemaah haji dapat melaksanakan kesemua rukun dan wajib haji dengan sempurna seperti yang dipelajari semasa kursus-kursus haji yang dianjurkan sebelum ini.
"Hanya dengan perlaksanaan ibadat haji yang sempurna di samping akhlak yang baik tuan-tuan dan puan-puan akan memperolehi haji yang mabrur.
"Beta juga ingin menasihati para jemaah untuk menggunakan kesempatan menjadi tetamu Allah S.W.T. dengan sebaiknya. Elakkan pembaziran masa serta perkara-perkara yang tidak berfaedah yang boleh mengganggu tumpuan dan ibadat," titah baginda.
Seramai 2,548 bakal jemaah haji dari Terengganu, termasuk mereka yang terpilih melalui Program Khas Haji Perdana Menteri akan berlepas ke tanah suci Mekah secara berperingkat- peringkat mulai 9 ogos lalu.
Sebanyak enam penerbangan terus disediakan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus ke Jeddah bermula 9 hingga 12 Ogos.