DUNGUN, 16 Mac – Setiap sumbangan yang diberikan untuk perjuangan agama dan pendidikan Islam bukan sahaja memberi manfaat di dunia, tetapi juga menjanjikan pahala yang berterusan di akhirat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat menekankan tentang kepentingan membantu agama Allah SWT dan yakin bahawa setiap usaha ini akan dipermudahkan oleh-Nya.
“Kita nak tolong agama Allah SWT ni, Insya-Allah Allah SWT akan tolong kita. Allah SWT akan buka ruang peluang dan permudahkan sehingga berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Dana Kolej Islam Darul Iman (KIDI) yang berlangsung di Tapak KIDI, disini semalam.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa perjuangan membangunkan institusi pendidikan Islam mungkin tidak dapat disempurnakan dalam waktu terdekat, tetapi generasi akan datang pasti akan meneruskan usaha ini.
“Walaupun tidak boleh siap masa sekarang, generasi-generasi lainlah yang akan sambung perjuangan ini hingga wujudnya kompleks pendidikan yang beri manfaat kepada masyarakat.
“Terima kasih kepada para pewakaf yang menyumbang sebahagian harta dan wang ringgit untuk kolej ini."
"Semoga pahala berterusan sentiasa mengalir dan inilah bekalan kita di hari akhirat akan datang,” katanya turut merakamkan penghargaan kepada para pewakaf yang telah menyumbangkan harta dan wang ringgit untuk pembangunan KIDI.
Di samping itu juga, beliau turut menyatakan harapan agar lebih ramai pihak tampil memberikan sokongan demi memastikan perkembangan pendidikan Islam yang lebih kukuh.
“Harapan kita agar mendapat sokongan dan dokongan semua sehingga suatu hari nanti kita dapat menyaksikan para ilmuan akan bertambah di negeri kita khususnya,” tambahnya.