KUALA NERUS, 25 Ogos - Permohonan Pondok Remaja Inabah 2 untuk mendapatkan vaksin kepada 84 pelatih yang sedang menjalani rawatan pemulihan dadah tercapai apabila dipermudahkan pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui program pemberian vaksin secara mobil.
Timbalan Pengetuanya, Mansor Ibrahim berkata langkah itu memudahkan pihaknya mengendalikan para pelatih berbanding jika dibawa ke PPV kerana dikhuatiri wujudnya usaha melarikan diri.
"Ia akan jadi panjang cerita kerana untuk mengawal mereka dalam jumlah tersebut agak sukar dari segi keselamatan serta penjagaanya.
"Apabila dimaklumkan pihak UniSZA sendiri akan turun sendiri ke sini selepas kita membuat permohonan melalui MySejahtera pada sebulan yang lalu jadi sangat gembiralah. Kesemua mereka akan menerima dos pertama jenis Pfizer pada hari ini (kelmarin).
"Jumlah pelatih di sini ada 96 orang, dah ada antara mereka yang telah menerima suntikan vaksin lebih awal yang mana mereka telah didaftarkan oleh keluarga masing-masing, di mana kita bawa mereka pergi ke mana-mana PPV yang ditetapkan mengikut temu janji yang telah diaturkan.
"Jadi dengan program pada hari ini maka boleh dikatakan semuanya telah menerima vaksin pertama, manakala 24 kakitangan pula telah lengkap menerima dua dos vaksin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, pada program yang dikendalikan oleh PPV UniSZA , di Pondok Remaja Inabah 2, Sungai Ikan, kelmarin.
Dalam pada itu Ketua Pasukan Data dan Penyelaras PPV UniSZA, Norkhairani Abdul Rani berkata program itu diadakan selepas mendapati kesemua mereka mendaftar di MySejahtera menggunakan nombor telefon yang sama.
"Justeru kita mengambil langkah untuk mengenal pasti, jadi difahamkan sepanjang menjalani rawatan mereka tidak dibenarkan keluar, tidak boleh menggunakan telefon, malah kad pengenalan pun tidak dibenarkan pegang.
"Setelah kita melakukan siasatan kerana tidak hadir walau telah dipanggil banyak kali, baru kita tahu mereka mendaftar melalui pihak pengurusan.
"Dalam kes tertentu seumpama ini dengan mengikut pertimbangan dan kesesuain kita bersedia untuk turun dalam usaha memastikan rakyat di negeri ini menerima vaksinasi," ujarnya.
Sementara itu, seorang pelatih senior yang hanya mahu dikenali Afzam tidak menafikan cubaan untuk melarikan diri akan sentiasa ada melalui pengalamannya sendiri.
"Sini merupakan tempat kelapan, sebelum ini tujuh tempat tidak sempat habis menerima rawatan sebelum nekad untuk membuat keputusan benar-benar berubah dan meninggalkan sejarah hitam yang pernah dilalui.
"Jadi insiatif untuk memberi vaksin di sini, merupakan langkah yang baik bagi mengelakkan ada usaha pelatih melarikan diri terutama di kalangan mereka yang baru sahaja masuk ke sini," ujarnya.
Untuk rekod Pondok Remaja Inabah ini beroperasi secara sah dari segi undang-undang di mana ia bernaung di bawah Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), selain Terengganu ia turut beroperasi di Kedah serta Negeri Sembilan.
Sehingga kini, Inabah telah berjaya memulihkan sejumlah penagih untuk membaiki diri dan seterusnya kembali semula ke pangkuan masyarakat dimana lebih 50 peratus berjaya dipulihkan.