KUCHING, 18 Ogos- Hampir putus asa dalam sukan memanah kerana kesibukan dan dilanda masalah kesihatan sekitar dua tahun lalu, Nurul Syaza Husna Mahari bangkit pada SUKMA XXI Sarawak dengan menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Terengganu.
Lebih manis, beliau turut meletakkan satu rekod baru SUKMA dalam acara Compund 50 Meter wanita apabila format kejohanan diperbaharui pada temasya kali ini.
"Ini pingat emas pertama saya, cabaran saya ialah saya bukan dikalangan pemanah sasaran, saya pun tak sangka dapat lawan ketakutan saya.
"Saya sering persoal diri, kenapa masuk memanah? Sebab saya tidak tahu apa lagi yang boleh dibanggakan dalam memanah ini.
"Saya pernah berhenti sebab 'dok boleh gi' dengan latihan kerana latihan di Terengganu tidak dapat berlatih dengan sempurna, tetapi Alhamdulillah dengan latihan itu saya berjaya dapat pingat emas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas dinobatkan sebagai pemenang pingat emas di Lapang Sasar Memanah Petra Jaya, hari ini.
Ketika ditanya mengapa tidak bermain pada edisi lalu sedangkan pada SUKMA 2018, beliau berada dalam pasukan.
Beliau cuma menjawab ia bukan rezekinya kerana telah berusaha sebaik mungkin pada 2022.
Cuma, anak ketiga daripada lima beradik itu amat berterima kasih kepada kedua ibu bapanya atas sokongan yang membantunya meneruskan sukan memanah.
Dalam pada itu, seorang lagi pemanah Terengganu, Aiman Syafiq Mohd Tariki memperoleh pingat perak dalam acara Compund 50 Meter lelaki setelah tewas tipis kepada pemenang pingat emas dari Wilayah Persekutuan.