“Syukur, Bantuan Ini Sangat Bermakna Buat Kami” – Asnaf Terharu

KEMAMAN, 15 Mac – Seramai 571 asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima sumbangan berupa wang tunai dan beras dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Kompleks Paya Lasir pagi semalam.

Seorang penerima, Kamariah Ibrahim, 40, meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima dan menyifatkan sumbangan tersebut amat bermakna bagi golongan asnaf sepertinya.

”Saya sangat bersyukur kerana sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam menyediakan keperluan harian, terutamanya ketika Ramadan hampir tiba.

"Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Asnaf DUN Kijal di Dewan Kompleks Paya Lasir di sini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Hazri Jusoh serta Ahli-Ahli Majlis DUN Kijal.

Sementara itu, ADUN Kijal, Datuk Razali Idris, berkata program tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu golongan yang memerlukan di kawasan tersebut.

”Kita sentiasa berusaha memastikan kebajikan rakyat terjaga, lebih-lebih lagi golongan asnaf yang memerlukan perhatian khusus.

"Bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban mereka dalam menghadapi bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Insya-Allah, pelbagai lagi inisiatif akan terus diusahakan bagi membantu masyarakat di DUN Kijal,” katanya.

 


Tag: