PETRAJAYA, 16 Ogos - Tanpa berselindung, pemenang pingat emas pertama Terengganu bagi acara Wushu Sanda (70kg) mendedahkan solat tahajud adalah sumber kekuatan dirinya meraih kejayaan.
Ekbal Dave Sandhu Aslam Dave mengakui pada awal pertarungan dia agak gugup, namun memikirkan sokongan rakan-rakan, atlet Terengganu itu tetap meneruskan saingan.
"Saya berdebar sangat hari ini, memang rasa tak boleh menang hari ini tapi demi kawan-kawan, demi keluarga yang datang saya kembali bersemangat.
"Di samping itu, antara kekuatan saya, saya cuba amalkan solat tahajud, jangan lewatkan solat dan bismillah setiap kali buat sesuatu," katanya kepada UPDI.
Lebih manis katanya, kemenangan itu dilakar di hadapan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang hadir menyaksikan sukan terbabit.
Selain satu emas, Terengganu juga cemerlang merangkul empat lagi gangsa dalam sukan wushu hari ini.