• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

Tak Kisah Projek Kecil Atau Besar, Asalkan Bermanfaat

Haji Ghazali Sulaiman (kiri) meninjau tapak projek kecil di kawasan tersebut.

 Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN - Rakyat sebenarnya tidak menginginkan projek besar yang tiada manfaat kepada pembangunan kawasan dan masyarakat setempat

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman berkata, biarlah projek kecil sekalipun, asalkan ianya memberi manfaat kepada rakyat.

"Tidak boleh ada sebarang kepentingan peribadi dalam menjayakan sesebuah projek. Semuanya untuk kebaikan masyarakat.

"Apabila projek ini dapat dijayakan dengan sempurna, maka ianya akan memberi gambaran bahawa kerajaan sekarang benar-benar pedulikan rakyat," tegasnya.

Beliau berasa amat bersyukur kerana projek kecil di Kampung Nerang, Jerangau yang dimohon sekian lama itu telah diluluskan.

Menurutnya, rakyat harus peka akan keprihatinan yang dibuktikan oleh kerajaan negeri.


Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita di tapak projek kecil di Kampung Nerang, Jerangau, semalam (19 Ogos).

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Arfan Tahir menyatakan, apalah gunanya projek yang menelan jutaan ringgit namun hanya dinikmati dan mengkayakan golongan tertentu tanpa manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat.


"Alhamdulillah, hari ini telah dimulakan projek membaik pulih longkang atau parit yang tersumbat.

"Kita akan memperdalam dan membaiki saliran bagi memastikan air tidak bertakung lagi," ujarnya.

Menurutnya, projek membaik pulih longkang itu amat penting kerana ianya selalu bertakung akibat banjir kilat.

Banjir kilat telah menyebabkan Sekolah Rendah Kebangsaan Jerangau dinaiki air dan turut melibatkan surau yang berada berdekatan.


Tag: