Taman Ilmu, Tembila Besut Mula Beroperasi
Kediaman yang menempatkan pelajar UniSZA dibuka secara rasmi hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim |
Taman Ilmu, di Tembila Besut yang diilhamkan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh, ketika menjadi Menteri Besar pada 2004, kini mula beroperasi dengan perasmian Kolej Kediaman UniSZA, hari ini.
UniSZA bakal menggunakan dua blok bangunan asrama bagi menempatkan 500 pelajar perintis di kawasan itu.
Bagaimanapun, pengurusan universiti akan memastikan satu blok asrama dibaik pulih secepat mungkin bagi penempatan 250 pelajar lelaki mulai 10 September ini, berikutan keperluan penginapan pelajar yang sangat mendesak.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, langkah itu mula memberi nafas baharu kepada masa depan projek yang melibatkan kos keseluruhan kira-kira RM340 juta di kawasan seluas 280 hektar yang sebelum ini banyak menimbulkan persoalan kepada masyarakat mengenai status pembangunannya.
Katanya, kerajaan negeri meluluskan permohonan UniSZA dengan pengecualian bayaran sewa bangunan selama 10 tahun.
"Kelulusan diberikan dengan syarat pusat pengajian itu menanggung sepenuhnya kos membaik pulih dua buah asrama tersebut dengan anggaran RM10 juta
"Selain itu, kerajaan masih menimbangkan cadangan beberapa pihak untuk beroperasi di Taman Ilmu dan kini permohonan masih di peringkat penelitian bagi memastikan pelaksanaannya kelak benar-benar memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian kolej itu di Tembila, Besut, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh; Ketua Setiausaha Kementerian itu, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohamad Nur; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Emiritus Dato' Dr. Kamarudin Husin dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato' Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif.
Turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dato' Dr. Nor Aieni Mokhtar; Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dato' Dr Mortaza Mohamad; Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Prof Dato Mohd Rizon Juhari dan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi, Datin Ir. Dr. Hanisah Tapsir.
Difahamkan UMK, UMT dan Aswara juga akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk turut beroperasi di Taman Ilmu.