• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Tanpa Subsidi Diesel, Pengusaha Pelancongan Terbeban Kos Tinggi

MARANG, 26 Jun - Kenaikan harga diesel memberi kesan langsung kepada kos operasi resort-resort di pulau menyebabkan pengusaha pelancongan Terengganu semakin terbeban. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, turut memberi perhatian terhadap isu berkenaan dengan mengadakan lawatan ke pulau-pulau di seluruh negeri Terengganu.

“Kenaikan harga diesel ini sebenarnya sangat membebankan pengusaha-pengusaha, di mana kebanyakan resort yang tidak mempunyai sambungan tenaga nasional terpaksa menggunakan 'generator' yang memerlukan diesel dalam jumlah besar.

 “Ini menyebabkan kos operasi meningkat dan memaksa mereka menaikkan harga bilik, makanan dan perkhidmatan lain,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Sidang Media Lawatan Kerja Exco Pelancongan dan Sesi Perbincangan Bersama Penggiat Pelancongan Terengganu bertempat di Pulau Kapas di sini hari ini.

Lawatan Razali ke Pulau Perhentian, Pulau Redang, dan Pulau Kapas adalah untuk mendengar sendiri rintihan dan kehendak pengusaha-pengusaha pelancongan. 

Beliau mendapati bahawa ketiadaan subsidi diesel di Semenanjung Malaysia, berbanding dengan Sabah dan Sarawak telah menambahkan beban kepada pengusaha-pengusaha pelancongan.

“Pengusaha pelancongan di Semenanjung tidak menerima subsidi diesel seperti di Sabah dan Sarawak, yang menyebabkan mereka berasa resah.

“Kami akan menggesa kerajaan supaya memasukkan industri pelancongan dalam subsidi diesel untuk meringankan beban pengusaha,” tegas Razali.

Razali menyatakan komitmen beliau untuk terus memperjuangkan isu tersebut dan berusaha mendapatkan subsidi diesel yang diperlukan untuk memastikan industri pelancongan Terengganu dapat terus berkembang tanpa halangan kos operasi yang tinggi.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Peniaga dan Pengusaha Pelancongan Pulau Kapas dan Gemia, Hussein Chou Abdullah, menyuarakan kebimbangan yang sama.

“Pengusaha-pengusaha di pulau-pulau ini kebanyakannya menggunakan genset (generator set) yang beroperasi dengan diesel," jelasnya.

Oleh itu, pihaknya berharap agar pihak kerajaan dapat meneliti semula polisi subsidi diesel bagi membantu meringankan beban kos operasi.

“Jika subsidi bersasar diesel ini tidak disampaikan kepada sektor pelancongan, kos pengendalian kita akan meningkat dan akhirnya beban tersebut akan dikenakan kepada pengunjung atau pelancong.

“Pengusaha-pengusaha pelancongan berharap agar kerajaan pusat dapat memberi perhatian yang serius terhadap isu ini bagi memastikan kelangsungan industri pelancongan di pulau-pulau Terengganu," ujarnya.

Beliau berkata, tanpa subsidi diesel, pengusaha terpaksa menaikkan harga sewa bilik dan perkhidmatan lain, yang boleh menjejaskan daya saing mereka dalam menarik pelancong.

 

 


Tag: