TDM Umum Tidak Lanjut Tarikh Jual Beli


KUALA TERENGGANU, 4 Ogos -  TDM Berhad hari ini mengumumkan untuk tidak melanjutkan tarikh akhir pelaksanaan Perjanjian Jual Beli Bersyarat ('CSPA') atas pelupusan dua anak syarikatnya di Kalimantan.

Syarikat terbabit adalah PT Rafi Kamajaya Abadi ('PT RKA') dan PT Sawit Rezki Abadi ('PT SRA') kepada PT Aragon Agro Pratama ('Aragon').

Pengerusi TDM Berhad, Raja Dato' Idris Raja Kamarudin pada 29 Mei 2020, berkata TDM turut mengumumkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah telah bersetuju untuk melanjutkan tarikh akhir perlaksanaan CSPA kepada 31 Julai 2020.

“Pada 28 Februari 2020, TDM telah mengumumkan penerimaan Surat Tawaran dari Aragon untuk mengambilalih keseluruhan ekuiti TDM di PT RKA dan PT SRA dengan jumlah tunai keseluruhan sebanyak RM210 juta.

“Sejak pengumuman itu, TDM dan Aragon telah bekerjasama bagi memastikan CSPA  tersebut dapat dilaksanakan,”katanya dalam satu kenyataan.

Namun begitu, katanya setelah menimbang tara tentang tarikh CSPA yang telah dipanjangkan beberapa kali dan juga ketidakpastian wabak global COVID-19 ini yang secara langsung telah mempengaruhi kedua-dua pihak dalam menyelesaikan CSPA.

“Ahli Lembaga Pengarah TDM memutuskan untuk tidak memanjangkan lagi tarikh akhir pelaksanaan CSPA,” katanya.

Idris berkata, TDM bersama penasihat tetap komited untuk melupuskan aset tersebut dan akan terus mengenal pasti pembeli yang sesuai agar dapat menyelesaikan proses ini secepat mungkin.

“Pihaknya  akan membuat pengumuman yang relevan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad sesuai dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama apabila ada perkembangan maklumat.

“Penamatan pelupusan ini tidak mempunyai kesan kewangan yang ketara terhadap aset bersih, pendapatan, hutang, modal saham dan pemegang saham majoriti pemegang saham,” katanya.

 


Tag: