Kerajaan negeri akan mewujudkan pembangunan Hab Digital Terengganu yang menawarkan jualan produk, ruangan pembelajaran dan ruang kerja bagi syarikat baharu terlibat dalam ekonomi digital.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sudah meluluskan dua lokasi bersesuaian bagi melaksanakan projek dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), bermula Januari depan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata bangunan kedai di Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu akan dijadikan sebagai pusat jualan produk digital dan ruang kerja.
Katanya, manakala bangunan di Kampung Telaga Papan dijangka akan dijadikan sebagai ruangan pembelajaran dan kerja-kerja pembaikian komponen elektronik untuk pelajar yang keciciran ke institut pengajian tinggi.
“Bagi tujuan itu, pihaknya diberi tempoh tiga bulan untuk kerja-kerja pengubahsuaian bangunan dengan kelulusan RM17 juta dari Kementerian Kewangan.
“Sekiranya kita mewujudkan dua lokasi itu sebagai Hab Digital, Terengganu bakal diiktiraf sebagai negeri pertama yang melaksanakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Wacana Intelektual Transformasi Terengganu Baharu ke arah Transformasi Nasional 2050 di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Nerus malam tadi.
Ahmad Razif turut memberitahu kerajaan negeri akan mewujudkan kembali Pusat Animasi Terengganu bertempat di Top-It Industries Sdn Bhd Gong Badak, Kuala Nerus.
“Perkara yang sudah mendapat kelulusan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri itu akan diperincikan termasuk peruntukan, kelengkapan, kemudahan pembelajaran dan fokus penglibatan pelajar,”katanya.