Terengganu Berhasrat Gabungkan GLC Teras Perniagaan Sama

Ahmad Razif (kanan) melihat dokumen yang disampikan Mohamat sempena pelancaran Model Transformasi TDM Baharu (TTB) di Permai Hotel Kuala Terengganu, semalam. Foto oleh Zulkipli CW Putra

Kerajaan negeri berhasrat menggabungkan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mempunyai teras perniagaan sama.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya sedang membuat penilaiandan kajian terperinci untuk proses penggabungan mana-mana entiti yang ada persamaan.

Katanya, penggabungan itu bukan sahaja sebagai usaha penjimatan dari segi pengurusan malah juga satu langkah dalam mendepani pelbagai cabaran terutama kos operasi yang semakin meningkat serta harga komoditi yang tidak menentu ketika ini.

“Contohnya menggabungkan TDM Berhad dengan Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd yang signifikan dengan aktiviti perladangan. Begitu juga dengan hotel-hotel milik kerajaan negeri yang mungkin boleh digabungkan menjadi satu konsortium,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Model Transformasi TDM Baharu (TTB) di Permai Hotel Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan TDM, Dato' Mohamat Muda.

Katanya, kerajaan negeri akan melihat kesamaan aktiviti-aktiviti perniagaan GLC miliknya supaya dapat diselaraskan.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri telah bersetuju dengan permohonan oleh TDM Berhad untuk mendapatkan tanah kosong yang dipunyai GLC lain di bawah naugannya.

“TDM Berhad akan bekerjasama dengan GLC ini untuk mendapatkan semaksima yang boleh tanah-tanah yang dkenalpasti berpotensi dibangunkan bagi tujuan perladangan,” ujarnya.

Tag: