KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Terengganu berupaya mengikut jejak langkah Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) jika terus kekal mematuhi segala peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya opitimis bahawa akan lebih banyak negeri beralih ke fasa berikutnya di mana kerajaan akan terus memacu peranan mengorak langkah ke hadapan dalam memastikan pemulihan negara dapat dijalankan secara lebih sistematik dan selamat.
Di samping itu katanya, strategi kerajaaan juga pada ketika ini adalah memastikan seramai mungkin penduduk dewasa di negara ini telah diberikan vaksin.
"Ia bagi memastikan pemulihan negara dapat dijalankan dengan lancar. Lebih ramai yang divaksinasi, lebih ramai terlindung, lebih kurang tekanan dan bebanan kepada sistem kesihatan negara dan lebih banyak sektor ekonomi yang boleh dibuka dengan selamat," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Facebook rasminya selepas mempengerusikan Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), bagi memperincikan kemudahan kepada individu yang telah lengkap menerima dua dos vakisn, semalam.
Turut serta, Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Sri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi membentangkan perkembangan terbaru PPN.
Muhyiddin berkata, kemudahan yang bakal dinikmati oleh setiap sektor eknomi juga turut diperhalusi dengan berhati-hati.
"Bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar, insya-Allah kemudahan ini akan saya umumkan dalam waktu yang terdekat.
"Diharapkan dapat memanfaatkan sebaiknya individu yang telah menerima vaksin lengkap dan juga membantu sektor ekonomi kita dengan mengambil kira keselamatan rakyat," ujar beliau.