Terengganu FC 2 'Comeback' Tumpaskan JDT2

KUALA TERENGGANU, 17 April- Terengganu Football Club II (Terengganu FC 2) 'comeback' sebanyak tiga kali sebelum menumpaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT 2) 4-3, sebentar tadi.

Tujuh jaringan yang terhasil di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menyaksikan anak buah Badrul Afzan Razali menamatkan kemarau seri dalam enam perlawanan sebelum ini.

Berdepan skuad dari selatan, Terengganu FC2 lebih banyak bertahan di awal permainan.

JDT2 lebih banyak menguasai bola namun kedua-dua pasukan dilihat berhati-hati dalm mengatur serangan.

Pada minit ke -20, Nicolas Alberto cuba memecahkan kubu tuan rumah dengan rembatan dari luar kotak penalti, namun berjaya ditepis keluar Mohamd Shafawi Mohamad.

Bagaimanapun, seminit kemudian rembatan deras Nicolas berjaya menerjah jaring meletakkan pelawat di depan.

Pada minit ke-40, Jordan Mintah berjaya memadam kelebihan pelawat apabila meledak gol penyamaan hasil kesilapan pertahanan lawan.

Namun, di minit ke-44 permainan, JDT2 sekali lagi menunjukkan taringnya.

Kali ini, Fernando Rodriguez menampan mudah bola muntah hasil tandukan Gary Steven Robat, tuan rumah ketinggalan 1-2 di babak pertama.

Memasuki babak kedua, Terengganu FC2 kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-51 melalui tandukan kemas Argzim Redzovic untuk 2-2.

Pasukan pelawat terus menggasak dan Fernando sekali lagi meledak melalui tandukan menjangkaui kawalan Shafawi pada minit ke-68.

Ketinggalan 2-3, Badrul memasukkan penyerang, Muhammad Isa Raman untuk meningkatkan asakan ke kubu lawan.

Pada minit ke-82, Masaki Watanabe menghidupkan peluang tuan rumah untuk mencuri mata apabila menguis mudah bola ke gawang gol JDT2.

Jaringan tersebut menjadi 'turning point' Terengganu FC2 menggandakan asakan.

Akhirnya, bermula dengan serangan balas pada minit ke-90, Isa Raman berjaya merampas bola yang terlepas dari dakapan Izham Tarmizi dan melakukan rembatan ke arah gol.

Namun, rembatan yang ditampan pertahanan JDT2 itu disusuli tolakan mudah Mintah untuk gol keempat pasukan.

Hasil kemenangan tersebut, Terengganu FC2 naik ke kedudukan keenam Liga Premier 2021 dengan 12 mata.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: