Terengganu FC Tegar Guna Anak Jati

Red One menjadi penaja utama Terengganu FC 2020.
KUALA TERENGGANU, 14 Februari - Terengganu Football Club (Terengganu FC) tetap tegar menggunakan khidmat anak negeri ketika pasukan lain lebih banyak mendapatkan khidmat pemain-pemain berpengalaman.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyatakan, tahun ini pasukan Terengganu FC telah melakukan satu perubahan besar dengan meningkatkan jumlah peratusan pemain yang berasal dari negeri itu.

“Pada tahun lalu, kita memiliki 60 peratus pemain kelahiran Terengganu dan tahun ini kita telah ada 80 peratus pemain-pemain terdiri dari anak negeri.

Dr. Ahmad Samsuri.
“Komitmen kita adalah untuk melahirkan pemain-pemain yang ‘real’ (berasal) dari Terengganu supaya mereka juga mampu beraksi bukan sahaja membawa nama negeri, tetapi juga untuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Jersi Terengganu FC bagi tahun 2020 di Dataran Pantai Batu Buruk, semalam.

Mengenai sasaran dalam saingan kali ini, Dr. Samsuri mahukan pasukannya mencabar setiap kejuaraan yang dipertandingkan.

“Tentunya kita ingin pencapaian lebih baik berbanding musim lalu. Pada saya, tidak salah untuk meletakkan target yang tinggi sebab itu adalah perkara biasa dalam pertandingan dan kita akan buat yang terbaik.

“Walaupun kita berdarah merah, moto kita ‘We Bleed Black And White’ menunjukkan betapa kita serius untuk mencabar,” katanya.

Lee Tuck mengetuai pasukan melakukan 'viking clap' semasa pelancaran jersi.



Tag: