Ahmad Razif ketika sesi sidang media selepas merasmikan Akademi TDM dan Pusat Timbang Komuniti, Sungai Tong, Setiu, hari ini. Foto Oleh: Tg Mohd Syamim Tg Ismail |
Terengganu akan menggabungkan lima hotel di bawah konsortium dikenali TI (Terengganu Inc) Hotel & Resort, tidak lama lagi.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, langkah penggabungan hotel Primula Beach Resort, Permai Inn, Duyong Marina Resort, PB Square dan hotel baharu di Pulau Poh, Tasik Kenyir sebagai memperkasakan industri pelancongan negeri di bawah satu bumbung pengurusan yang lebih efisien dan langkah penjimatan tenaga kerja.
Katanya, konsortium berkenaan akan dipantau dan dipengerusikan oleh beliau sendiri.
"Langkah penggabungan ini sebagai usaha yang lebih agresif dalam memastikan pelancongan negeri terus maju.
"Konsortium ini sedang digerakkan dan akan dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja apabila proses penggabungannya selesai,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Akademi TDM dan Pusat Timbang Komuniti, Sungai Tong, Setiu, hari ini.
Turut hadir, isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Halina Zakaria; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor dan ADUN Jabi, Mohd Iskandar Jaafar.
Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan, TDM Berhad, Dato' Mohamat Muda.
Dalam pada itu, menurut Ahmad Razif, Akademi TDM adalah penjenamaan semula dalam era transformasi dan satu komitmen TDM dalam menyediakan pusat latihan, khususnya kepada warga TDM serta amnya kepada syarikat perladangan dan juga pekebun kecil di Terengganu mahupun Pantai Timur.
Beliau berkata, TDM turut mewujudkan Pusat Timbang Komuniti dalam usaha membantu kerajaan meringankan masalah rakyat dan mampu memberi banyak manfaat kepada pekebun kecil di sekitar Sungai Tong.
“Penduduk sekitar Sungai Tong tidak perlu lagi menjual hasil tanaman masing-masing kepada orang lain atau membawanya untuk timbangan yang jauh dari kawasan mereka,” ujarnya.