Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Hasrat skuad Terengganu FC untuk meraih tiga mata penuh pada aksi sulung saingan ASEAN Club Championship (ACC) Piala Shopee 2024/25 tidak kesampaian selepas gagal menjinakkan Juara Liga Kemboja sebentar tadi.
Turun dengan semangat yang tinggi setelah membuat persiapan rapi berminggu-minggu tidak cukup untuk anak-anak buah Tomislav Steinbruckner melakar kejutan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Terengganu walau bagaimanapun bermula garang dengan asakan awal ke kubu Svay Rieng FC, rembatan padu Mohd Ubaidullah Shamsul pada minit ke-6 hampir membuahkan hasil namun ditangkap kemas penjaga gol lawan.
Tersentak dengan serangan tuan rumah, Svay Rieng memperkemaskan permainan dengan serangan-serangan pantas ke kawasan Terengganu.
Usaha pelawat membuahkan hasil selepas gol yang dicari akhirnya tiba, 'placing' Gabriel Silva ke sudut kiri gawang selepas menerima hantaran cantik rakannya pada minit ke-12 meletakkan kedudukan 1-0.
Terkedu dengan jaringan itu, Terengganu cuba mengatur semula permainan dengan pergerakan lebih teratur.
Namun, semangat itu gagal diterjemahkan dengan jaringan sebaliknya dihukum dengan gol kedua Svay Rieng pada minit ke-14.
Kelekaan barisan pertahanan Terengganu membawa padah apabila pemain import pelawat, Pablo Agusto meledak untuk memberi kelebihan dua gol.
Terengganu cuba bangkit, tetapi ketumpulan penyudah menjadi duri dalam daging.
Pelawat yang mencari gol ketiga turut mendapat peluang keemasan, termasuk percubaan pada minit ke-30 oleh Agusto, namun dinafikan palang gol.
Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Tomislav membuat pertukaran dengan mengeluarkan Shahrulnizam Roshasni dan memasukkan Matthew Steenvoorden.
Perubahan pemain itu tampak berkesan dan memberi tonik baru kepada pasukan apabila Terengganu berjaya mendapatkan gol pertama.
Jaringan pada minit ke-55 itu tercipta hasil kawalan bola menarik Ubaidullah yang memperdaya dua pemain lawan sebelum menolak bola tersebut kepada Manuel Ott.
Ott yang tidak dikawal, tenang menendang bola masuk gol sudut kanan penjaga gol sekali gus merapatkan kedudukan 2-1.
Perlawanan terus berlangsung rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.
Dalam keghairahan Terengganu menyerang, Svay Rieng berjaya mencuri bola dan melakukan serangan balas pada minit ke-86.
Min Ratanak yang menerima bola tersebut melakukan rembatan di hadapan kotak penalti Terengganu dan gagal dihalang Suhaimi Hussin sekali gus memberi kelebihan 3-1 buat pelawat.
Ketika perlawanan hampir berkesudahan dengan skor 3-1, Terengganu mendapat sepakan penalti selepas pemain gantian, Chijioke dijatuhkan dalam kotak penati oleh penjaga gol lawan.
Safawi yang mengambil sepakan tersebut tidak mempunyai masalah untuk menjaringkan gol kedua buat Terengganu.
Namun ia sudah terlewat buat pasukan tuan rumah untuk bangkit, kedudukan 3-2 kekal hingga wisel penamat.