MARANG, 12 Februari - Juara bertahan Sukan Malaysia (SUKMA), Terengganu berikrar untuk mempertahankan gelaran itu buat kali keenam apabila temasya itu berlangsung di Johor tahun ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, bidang sukan sememangnya menjadi agenda kepada kerajaan negeri yang ingin melihat Terengganu terus kekal sebagai kuasa utama sukan di Malaysia.
“Misi tahun ini tidak lain tidak bukan adalah untuk mempertahankan kejuaraan membawa balik piala juara keseluruhan ke negeri Terengganu.
“Walaupun tugas mempertahankan kejuaraan tidak mudah terutamanya menentang tuan rumah iaitu Johor yang pasti memberi tentangan sengit,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Kem 2020 ‘Victory Mission’ siri dua di Perkarangan Masjid Rhu Muda di sini kelmarin.
Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu.
Dalam perkembangan sama, Hishamuddin menjelaskan, Terengganu telah mencipta sejarah menjadi juara buat kali pertama pada tahun 2008 iaitu semasa menjadi tuan rumah dengan kutipan 61 pingat emas.
“Ia melonjak 15 pingat berbanding kejohanan sebelumnya iaitu peningkatan melebihi 400 peratus satu pencapaian yang menakjubkan dan sukar dilakukan mana-mana pasukan.
“Kontinjen negeri selepas daripada itu tidak lagi menoleh ke belakang apabila kita dinobatkan sebagai kontinjen terbaik untuk tiga edisi berturut-turut pada tahun 2010, 2011 dan 2012,” katanya.
Tambah beliau, kenangan manis itu pastinya akan berulang sekiranya setiap atlet bekerja keras dan mendapat sokongan serta doa seluruh rakyat.
Ujarnya, setiap atlet juga harus menjadikan kejohanan SUKMA sebagai platform terbaik untuk lebih berjaya dalam sukan masing-masing sehingga ke peringkat tertinggi.
“Saya percaya perancangan rasmi dan bersepadu serta pelan latihan tersusun yang disediakan termasuk kem-kem sebegini bagi mempersiap para atlet pada prestasi kemuncak pada hari kejohanan nanti,” jelasnya.
Sebanyak 31 jenis sukan bakal dipertandingkan dalam kejohanan yang akan bermula 11 hingga 19 Julai ini dan ia akan disertai seramai lebih daripada 500 orang atlet negeri.