KUALA LUMPUR, 19 Februari - Pasukan Hoki Terengganu (THT) memulakan langkah bergaya dengan memenangi Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia (LHM) 2022 semalam.
Kejayaan THT hadir selepas berjaya menumpaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Penyerang berbisa THT, Faizal Saari membuka tirai jaringan melalui pukulan sudut penalti seawal minit ketujuh perlawanan berlangsung.
TNB terus mengasak kubu Terengganu bagi menyamakan kedudukan namun berjaya dihalang oleh penjaga gol THT, Muhammad Hafizuddin Othman yang bertindak cemerlang sehingga habis suku masa pertama.
Memasuki suku masa kedua, skuad bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin terus melancarkan serangan ke kawasan THT bagi mencari gol penyamaan.
Pada minit ke-21, TNB berjaya mendapat dua pukulan penalti namun gagal melepasi gawang THT setelah penjaga gol THT bertindak cemerlang menghalang.
Sebaliknya, pada minit ke-35, THT mengandakan kedudukan apabila pengadil perlawanan menganugerahkan penalti stroke setelah bola daripada pukulan sudut penalti THT terkena muka, Faiz Helimi, Kapten TNB.
Faizal Saari yang tidak mengsia-siakan peluang terhidang tersebut telah menjadi duri dalam daging buat TNB setelah menambah jaringan buat THT hasil pukulan itu.
Menjelang 5 minit terakhir perlawanan suku masa ketiga, THT sekali lagi berjaya meledak gol melalui Arif Syafie setelah dihadiahkan pukulan sudut penalti oleh pengadil perlawanan.
Meskipun Pemain TNB, Najib Abu Hassan berjaya membuka tirai jaringan bagi mengejar kedudukan perlawanan pada saat-saat akhir perlawanan suku masa ketiga serta menambah jaringan pada minit ke-52 melalui Faiz Helmi.
Jaringan tersebut tidak berjaya melebur misi THT untuk memenangi perlawanan tersebut apabila kekal 3-2 sehingga tamat perlawanan.
Tambah manis lagi, kemenangan itu juga membolehkan THT mengutip tiga mata sekali gus memulakan kempen pemburuan kejuaraan utama saingan teratas hoki negara dengan momentum positif.