• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Terengganu Kekal Rekod Terbaik STPM Buat Kali Kelima

BESUT, 23 Julai - Terengganu berjaya mengekalkan tradisi kecemerlangan apabila berjaya mengekalkan pencapaian keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 terbaik kebangsaan untuk lima tahun berturut-turut apabila mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.11.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, dalam masa sama Terengganu turut berjaya mengatasi PNGK nasional iaitu 2.84 dengan perbezaan 0.27 peratus.

"Seramai 2,211 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2023 berbanding 2,178 orang pada tahun sebelumnya.

"Pencapaian keseluruhan semua A penuh PNGK 4.0 adalah seramai 79 calon, manakala kombinasi A dan A- adalah seramai 172 calon ," katanya.

Beliau berkata demikian pada Pengumuman Keputusan STPM 2023 Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah, di sini, hari ini.

Menurutnya, pencapaian semua A (A penuh, kombinasi A dan A-) dalam mata pelajaran yang diambil pada 2023 meningkat kepada 251 orang berbanding 226 orang pada 2022.

Menurutnya, prestasi PNGK sekolah di negeri ini juga menunjukkan peningkatan sejak lima tahun berturut-turut bermula 2019 apabila mencatatkan PNGK 3.02 pada 2019, 2020 (3.03), 2021 (3.03), 2022 (3.04) serta 2023 (3.11).

Beliau turut berkongsi, 36 daripada 46 sekolah yang mempunyai calon STPM di seluruh Terengganu berjaya mencapai Min PNGK 3.0 ke atas.

Katanya, seramai 11 calon SMK Sultan Sulaiman Kuala Terengganu mendapat semua A Penuh (PNGK 4.0) manakala SMK Sultan Omar, Dungun menunjukkan peningkatan PNGK terbaik iaitu 3.15 berbanding 2.70 pada tahun lalu.

Che Muhammad Hakimi Che Alias dari SMKA Durian Guling, Marang dipilih sebagai pelajar terbaik STPM Sains Sosial, manakala Nurin Dayini Mazlan (SMK Nasiruddin Shah) pula diumum sebagai pelajar terbaik STPM (kategori pelajar kelainan upaya).

Berdasarkan rekod STPM, Terengganu mencatatkan keputusan terbaik kebangsaan pada 2014, 2015, 2016 dan lima tahun berturut-turut bermula 2019.


Tag: