Terengganu Lancar Aplikasi Fitsokmo

KUALA TERENGGANU, 7 April - Sebahagian rakyat Terengganu kini mampu menikmati program kecergasan secara atas talian dengan pelancaran Program Kecergasan Terengganu Online Fit Is Sunnah & Aplikasi Fitsokmo hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, aplikasi tersebut berperanan menyampaikan segala maklumat kesihatan dan kecergasan kepada rakyat secara efisien, efektif, berkualiti dan telus.

“Alhamdulillah meskipun dengan kekangan wabak Covid-19 yang masih ada, kerajaan negeri melalui Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) komited membentuk rakyat supaya mengamalkan gaya hidup yang sihat.

“Justeru saya begitu yakin dengan semangat kesukanan yang ada pada rakyat negeri Terengganu, program ini sangat bermanfaat untuk kita semua,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Program Kecergasan Terengganu Online Fit Is Sunnah & Aplikasi Fitsokmo di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor, Ketua Kontinjen Terengganu Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, Tengku Seri Bijaya Raja, Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.

Dalam perkembangan sama, menurut Wan Sukairi, pembinaan aplikasi berkenaan menelan belanja kira-kira lebih RM200,000 bagi membolehkan rakyat Terengganu menerima manfaat itu secara percuma.

"Kita menyediakan tenaga-tenaga pakar yang menjadi jurulatih program ini di mana rata-ratanya adalah bekas atlet kebangsaan. Dianggarkan kos bagi setiap peserta yang ditanggung oleh kerajaan negeri adalah sebanyak RM150 seorang," jelasnya.

Seramai 1,500 rakyat Terengganu bakal menerima manfaat program kecergasan secara atas talian tersebut dalam tempoh tiga bulan ia dilaksanakan.

Sementara itu, mengulas lanjut, Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak berkata, pengguna yang menggunakan Aplikasi Fitsokmo boleh menggunakan aplikasi tersebut di mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja.

"Khidmat perundingan yang ada dalam aplikasi ini insya-Allah berperanan memberi khidmat kesihatan yang baik kepada pengguna aplikasi ini," jelasnya.


Tag: