Oleh: Nooreni Abu Bakar
KUALA TERENGGANU, 21 Jun – Terengganu terus melakar kejayaan sebagai sebuah negeri yang bukan sahaja menjadi destinasi pilihan pelancong, malah turut dikenali sebagai negeri mengutamakan kesejahteraan rakyat berteraskan nilai Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Nor berkata, hasrat utama kerajaan negeri adalah untuk memastikan rakyat dapat menjalani kehidupan yang selari dengan tuntutan syariat Islam sekali gus mewujudkan suasana kehidupan yang aman, harmoni dan diberkati.
"Pelbagai dasar dan inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri memberi penekanan kepada pembangunan insan, pengukuhan institusi keluarga serta kebajikan masyarakat tanpa mengabaikan pembangunan ekonomi.
“Kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan hasil pendapatan negeri dapat dinikmati dan diagihkan kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan, kebajikan serta program pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat,” katanya ketika berucap di Majlis Hi-Tea Inspirasi Wanita DUN Ladang Bersama YB Zuraida Md Noor di sini baru -baru ini.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga memberi perhatian khusus terhadap kebajikan dan keperluan wanita dengan menyediakan pelbagai kemudahan yang lebih mesra wanita di seluruh negeri.
“Antara usaha yang dilaksanakan ialah menyediakan kemudahan yang selesa serta mesra wanita di masjid dan surau agar golongan tersebut dapat melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan,” ujarnya.
Tambah beliau, kemudahan yang lebih baik kepada wanita bukan sahaja meningkatkan keselesaan beribadah, malah menjadi simbol penghargaan kerajaan terhadap peranan besar wanita dalam membina masyarakat dan negara.
“Apabila syariat dijadikan panduan, hasil negeri dikongsi bersama rakyat dan kebajikan semua lapisan masyarakat dipelihara, maka lahirlah sebuah negeri yang makmur, sejahtera dan diberkati Allah,” katanya lagi.
Tag :