Terengganu Negeri Yang Subur Dengan Ilmu

Satiful Bahari Mamat.
KUALA TERENGGANU, 14 April - Terengganu adalah sebuah negeri yang subur dengan ilmu dan institusi pendidikan  sehingga berjaya melahirkan ramai golongan teknokrat dan ilmuan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, sejarah ketinggian ilmu sememangnya tidak asing di bumi Terengganu yang menyaksikan tokoh-tokoh hebat sentiasa mendapat perhatian dunia.

Jelasnya, justeru itu pihaknya sentiasa membuka ruang buat semua warga pendidik sama ada daripada dalam atau luar Terengganu untuk bekerjasama membina generasi rabbani.

“Dan insya-Allah, kita mengalu-alukan, Terengganu kita mengharapkan sebagai negeri yang subur dan sentiasa terbuka kepada dunia pendidikan khususnya yang berteraskan Islam.

“Untuk bersama-sama bekerjasama bagi mencapai matlamat, kita juga membuka peluang bukan hanya kepada anak Terengganu tetapi juga kepada mereka yang di luar Terengganu, untuk kita membina generasi pelapis,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Himpunan Pendidik Islam Malaysia (HPIM) 6.0 Peringkat Kebangsaan di Stadium Negeri, di sini semalam.

Tokoh murabbi ummah.
Turut hadir, Mursyidul Am PAS, Dato' Hashim Jasin, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Mohd Amar Nik Abdullah, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Terdahulu, Satiful menyampaikan anugerah kepada beberapa tokoh pendidik yang banyak berjasa dalam institusi keilmuan di negara ini.

Anak jati Terengganu dari Kampung Baru Seberang Takir, Ustaz Mohd Fauzi Mansor dinobatkan sebagai Tokoh Pendidik Kelainan Upaya atas sumbangan beliau dalam dunia pendidikan terutamanya kepada masyarakat kurang penglihatan.

Selain itu, turut menerima anugerah pendidikan dalam himpunan kali ini ialah Dato’ Hashim Jasin yang dianugerahkan Tokoh Murabbi Ummah manakala Dato’ Dr Johari Mat sebagai Tokoh Pendidik, dan Ustaz Azhar Idrus menerima anugerah Tokoh Pendidik Masyarakat Nusantara.

Tidak ketinggalan, Tokoh Pendidik Muslimat dianugerahkan kepada Dr Halimah Ali yang banyak berjasa dalam pendidikan perubatan dan agama.

                                                                                                                       Mohd Fauzi Mansor tokoh pendidik kelainan upaya.
HPIM 6.0 menghimpunkan semua pendidik daripada pelbagai institusi pendidikan seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR), tahfiz, madrasah, pondok,
Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) serta sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).


Tag: