• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

Terengganu Perhebat Usaha Cungkil Bakat Baru Gamelan

KUALA TERENGGANU, 15 Ogos - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu bakal menganjurkan Pertandingan Gamelan Melayu (Senandung Terengganu) peringkat negeri bagi mencungkil bakat baru agar seni warisan itu terpelihara dan tidak luput ditelan zaman.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata, pertandingan yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan berlangsung pada 27 dan 28 September.

Ujarnya, usaha memartabatkan kesenian itu difikirkan wajar bagi memastikan kesinambungan kepada perkembangan budaya seni 'Gamelan Terengganu'.

"Matlamat utama kita adakan program ini sudah tentu untuk mencungkil bakat kanak-kanak dan juga remaja dalam bidang seni gamelan bagi memastikan pemuliharaan dan pengembangan kepada seni gamelan tidak akan terhenti.

"Dengan menyasarkan penglibatan pelajar sekolah rendah dan menengah ia akan memberi pendedahan baru terutama kepada mereka yang baru menceburi diri dalam bidang seni dan budaya ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Penganjuran Pertandingan Gamelan Melayu (Senandung Terengganu) Peringkat Negeri Terengganu, di Bilik Ulek Mayang JKKN, Kuala Ibai, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut katanya, sebanyak 17 buah sekolah telah mengesahkan penyertaan dalam dua kategori pertandingan iaitu tarian dan alat gamelan.

"Kategori tarian akan disertai pelajar dari sembilan buah Sekolah Renda (SK) iaitu Seberang Takir, SK Tok Jembal, Tengku Ampuan Intan, Kubang Ikan, Tanjung Gelam, Gong Pasir, Sultan Sulaiman, Wakaf Tapai manakala SK Methodist Kuantan, Pahang turut dijemput khas untuk menyertai.

"Bagi kategori pertandingan alat gamelan pula disertai oleh lapan buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Gong Badak, Tengku Mahmud, Tengku Lela Segara, Pulau Serai, Maktab Rendah Sains Mara Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu.

"SMK Bandar Damai Perdana, Selangor telah turut bersetuju menyertai pertandingan yang bakal diadakan itu nanti," ujarnya.

Jelasnya, berlaku peningkatan ketara dalam penyertaan pada kali ini berbanding kali pertama diadakan pada tahun lalu yang hanya disertai oleh lima buah sekolah.

"Terutama setelah ia dipersembahkan semasa pembukaan program 'Beautiful Terengganu', dan dalam beberapa cara lagi di samping kita menawarkan kepada lebih banyak sekolah untuk menyertai acara ini dan telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, hadiah keseluruhan bagi pertandingan itu ditawarkan sebanyak RM12,000 membabitkan dua kategori yang dipertandingkaan, dengan juara akan mendapat RM2,500, naib juara RM2,000 dan ketiga RM1,500.