Kota Kinabalu, 31 Oktober – Terengganu bakal menganjurkan acara pacuan empat roda (4x4) bertaraf antarabangsa selepas meninjau dan mempelajari pengalaman penganjuran Borneo Safari di Sabah, salah satu acara lasak paling terkenal di rantau ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, berkata kerjasama dengan Sabah itu bertujuan memperkasa pembangunan pelancongan lasak dan eko di Terengganu dengan menjadikan kejayaan Borneo Safari sebagai model rujukan terbaik.
“Kita lihat sendiri bagaimana Sabah berjaya mengangkat acara Borneo Safari ke peringkat antarabangsa dan menjadi tumpuan pelancong dari seluruh Asia.
“Tahun depan, Terengganu akan berkolaborasi dengan penganjur Borneo Safari untuk menganjurkan program 4x4 yang lebih besar dan luar biasa di Terengganu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja ke Sabah sempena Penganjuran Borneo Safari ke-33, yang menghimpunkan peserta dari dalam dan luar negara termasuk Brunei, Indonesia dan Thailand bertempat di Tapak Sukan Lasak 4×4 Borneo Safari, Kota Kinabalu Sabah di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Presiden Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT4X4 Team), Muhammad Muzzammil Mokhetar, yang mengetuai pasukan Terengganu bagi menimba pengalaman dalam aspek pengurusan, keselamatan dan pelibatan komuniti setempat.
Menurut Razali, Sabah berjaya memanfaatkan bentuk muka bumi semula jadi dan sokongan komuniti dalam menjadikan aktiviti lasak seperti 4x4 sebagai produk pelancongan bertaraf dunia.
“Pendekatan ini wajar dicontohi kerana memberi impak besar kepada ekonomi setempat termasuk sektor peruncitan, pengangkutan serta makanan dan minuman.
“Kita yakin konsep yang sama boleh diterapkan di Terengganu untuk menjadikan negeri ini sebagai hab pelancongan eko dan adventure utama di Pantai Timur,” jelasnya.
Beliau berkata, acara 4x4 yang akan dianjurkan di Terengganu tahun depan bukan sekadar pertandingan, tetapi akan dijadikan festival pelancongan lasak yang mampu menarik pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Insya-Allah, dengan kerjasama Borneo Safari dan UT4X4 Team, kita mahu penganjuran di Terengganu tahun depan mencapai standard antarabangsa serta memberi manfaat ekonomi kepada rakyat,” katanya.
Untuk rekod, Terengganu sebelum ini turut berjaya menganjurkan Program Jamboree Peminat 4x4 Malaysia Siri 4/2025 di Belukar Bukit, Hulu Terengganu yang menghimpunkan 2,844 peserta dan 948 kenderaan pacuan empat roda dari seluruh negara.
“Program selama tiga hari yang berlangsung pada 3 hingga 5 Oktober lalu itu menjadi antara jamboree 4x4 terbesar di negeri ini, dengan acara kemuncak Terengganu International 4x4 (GPX4) Offroad Challenge 2025 disertai 100 peserta bersama 50 buah kenderaan dalam kategori ‘Litecore’ dan ‘Hardcore.
“Selain pertandingan, kawasan Belukar Bukit turut berubah menjadi ‘campsite’ besar apabila para peserta mendirikan khemah serta berkumpul santai bersama keluarga dan rakan-rakan,” ujarnya.