Berita :
YPM, Takaful Ikhlas Salur Bantuan Cermin Mata Kepada Pelajar Sekolah
YPM, Takaful Ikhlas Salur Bantuan Cermin Mata Kepada Pelajar Sekolah
Noraini Jusoh
5 jam yang lepas
82

KUALA TERENGGANU, 19 April - Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) terus memperkukuh komitmen dalam membantu pelajar memerlukan melalui penyaluran bantuan cermin mata serta duit raya berjumlah RM10,000 hasil tajaan penuh Takaful Ikhlas General Berhad Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norhana Yaakub berkata, seramai 45 pelajar daripada sepuluh buah sekolah terpilih menerima manfaat daripada penyaluran sumbangan berkenaan.

“Program ini merupakan satu inisiatif kebajikan yang memberi fokus kepada aspek kesihatan penglihatan dalam kalangan pelajar sekolah, khususnya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah yang dikenal pasti memerlukan sokongan. 

“Ia juga mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh kerjasama strategik antara yayasan, sektor korporat, pihak sekolah serta komuniti setempat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut katanya, program tersebut bukan dilaksanakan secara kebetulan, sebaliknya hasil daripada proses pengumpulan dan penelitian data melibatkan sekolah-sekolah di lapan daerah di Terengganu. 

“Setiap permohonan diteliti bagi memastikan bantuan disalurkan kepada pelajar yang benar-benar layak dan memerlukan,” ujarnya.

Menurut Norhana, bagi Fasa 1 pelaksanaan, seramai 45 pelajar dipilih sebagai penerima manfaat utama hasil tajaan penuh daripada Takaful Ikhlas General Berhad, Terengganu. 

“Setiap pelajar menerima satu set cermin mata yang disediakan mengikut keperluan masing-masing, selain sumbangan duit raya kepada setiap penerima sebagai tanda kegembiraan sempena bulan Syawal baru-baru ini.

“Turut terlibat sebagai rakan sinergi ialah Ar Rayyan Optometry Sdn. Bhd. yang memainkan peranan dalam menjalankan pemeriksaan mata serta menyediakan cermin mata berkualiti kepada para pelajar,” ujarnya.

Katanya, inisiatif tersebut akan diteruskan ke fasa seterusnya dengan sasaran memperluaskan manfaat kepada lebih ramai pelajar di seluruh negeri melalui penglibatan rakan strategik dan penaja korporat yang lain.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan