• 19 Sept 2024 | 15 Rabiul Awal 1446

Terengganu Sasar 16 Kumpulan Gamelan dalam Lima Tahun

KUALA TERENGGANU, 18 September - Terengganu menyasarkan pembentukan sekurang-kurangnya 16 kumpulan gamelan dalam tempoh lima tahun sebagai usaha memperkasa seni warisan gamelan di negeri ini.

Pengarah Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, inisiatif itu bermula dengan penyerahan peralatan gamelan secara pinjaman kepada empat buah sekolah bertujuan memastikan kesinambungan program gamelan serta melahirkan lebih ramai penggiat seni tempatan.

"Setakat ini, hanya tiga kumpulan gamelan yang aktif di Terengganu.

"Sasaran kita adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya dua kumpulan bagi setiap daerah, menjadikan keseluruhannya 16 kumpulan di lapan daerah.

"Jadi sebab itu pada permulaan ini inisiatif kita ialah berkolaborasi dengan 17 buah sekolah bagi mengembangkan dari segi muzik gamelan juga tarian," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang media selepas program Memorandum Persefahaman (MoU) 
Peminjam Alat Muzik Gamelan Melayu antara Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, pada semalam.

Menurutnya, beliau turut menjelaskan bahawa Jabatan Pelancongan Terengganu akan menyediakan tenaga pengajar bagi memastikan program ini berjalan lancar.

"Jadi target dalam lima tahun kita dapat melahirkan lebih ramai penggiat dalam seni warisan gamelan negeri Terengganu.

"17 buah sekolah, satu buah sekolah lebih kurang 20 orang. Tetapi ada sekolah yang bilangan peserta 15-20 orang bergantung pada institusi. 

"Dan sekolah ini juga sentiasa berkembang contohnya Sekolah Kubang Ikan pada peringkat awalnya kalau tak silap saya sembilan orang tapi sekarang ada dalam 15 orang," ujarnya.

Beliau menambah, program ini mendapat sambutan yang sangat baik, bukan sahaja daripada pelajar tetapi juga ibu bapa.

"Sebenarnya kita telah melaksanakan kolaborasi dengan sekolah dua tahun yang lepas dan lima tahun yang saya letak bermula pada tahun inilah.

 "Yang akan datang ini di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melibatkan lebih 10 buah sekolah dan ada dua kategori muzik dan tarian," tambah beliau.

Justeru itu, beliau menyeru pihak yang terbabit agar terus mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri demi memastikan warisan gamelan ini terus berkembang dan terpelihara.

"Jadi Kita sama-sama mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan negeri," tambah beliau lagi.

Bagi tarian gamelan, beliau menjelaskan bahawa polisi kerajaan negeri hanya membenarkan pelajar wanita berusia 12 tahun ke bawah untuk terlibat, sesuai dengan garis panduan yang ditetapkan.


Tag: