• 20 Sept 2024 | 16 Rabiul Awal 1446

Terengganu Sedia Hadapi Banjir



Kerajaan negeri bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya banjir besar melanda di Terengganu pada tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail berkata, mesyuarat bersama ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri telah pun dilakukan termasuk langkah memindahkan pusat peperiksaan ke tempat yang lebih sesuai sekiranya bencana pada musim peperiksaan.

Katanya, pihaknya sudah bersedia hampir dalam semua aspek bagi menghadapi bencana itu, tidak mengira ia berlaku ataupun tidak.

“Tafsiran tentang banjir oleh rakyat berbeza dari segi teknikal yang telah dilakukan oleh pihak berkaitan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran. Jadi tidak perlu bimbang.

“Jika banjir berlaku pada musim peperiksaan, beberapa langkah penting akan diambil supaya pelajar dapat terus mengambil peperiksaan tersebut,” katanya. 


Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Pesta Schoolwide Enrichment Model (SEM) 2016 di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin dan Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Mohamad Sulong.

Tambah Shafruddin, pihak JPNT juga telah mengenalpasti beberapa buah sekolah yang biasa dilanda banjir termasuk menjadi laluan banjir.

Katanya, JPNT turut mengambil langkah bersama pejabat-pejabat daerah bagi mengatasi banjir jika ianya berlaku.

“Pengetua telah diminta untuk mengenalpasti pelajar berdasarkan alamat mereka. Pelajar yang terlibat ini akan ditempatkan di sekolah ataupun asrama.

“Selain itu, jika hanya melibatkan laluan, pejabat daerah diminta untuk mengenal pasti lori atau bot untuk memindahkan pelajar ataupun mengambil mereka untuk peperiksaan.

“Jika laluan untuk ke sekolah langsung tidak dapat dilalui, pihak pengetua diminta untuk memindahkan pusat peperiksaan ke tempat lain,” katanya.

Tag: