Terengganu Tambah Bantuan ‘One-Off’ OKU

KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Kerajaan Terengganu terus membela nasib rakyat kurang berkemampuan apabila menaikkan bantuan 'one-off' golongan orang kelainan upaya (OKU) di negeri terbabit.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini penerima OKU hanya menerima bantuan RM150 seorang.

“Pada tahun 2022, kita perkenalkan bantuan tunai kepada OKU. Bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri telah bersetuju meningkatkan bantuan ‘one-off’ kepada OKU sehingga RM200 seorang. 

“Kerajaan juga berusaha memberikan pendidikan kepada OKU penglihatan melalui pengajian Al-Quran dan hafazan. Setakat ini dua pusat Al-Quran braille diwujudkan di Besut dan Paka. 
 

“Dua institusi ini akan terus diperkasa membolehkan seramai mungkin OKU penglihatan mendapatkan pendidikan ini,” katanya dalam Majlis Perasmian Penutup Karnival Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu 2023 di Dataran Batu Buruk, di sini semalam. 

Beliau turut berkata, Kerajaan Negeri bakal wujudkan pusat pengajian Al-Quran bagi OKU kategori pekak dan bisu selain usaha intervensi awal kanak-kanak autisme. 

Pada masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Perpaduan negeri, Hanafiah Mat berkata, pembayaran akan dibuat selewat-lewatnya selepas Aidilfitri tahun ini. 

Karnival OKU tersebut berlangsung selama tiga hari mengumpulkan sekitar 800 pelajar dari seluruh Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Terengganu.

 


Tag: