Berita :
Terengganu Ungguli STPM Tujuh Tahun Berturut-turut
Terengganu Ungguli STPM Tujuh Tahun Berturut-turut
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
76

MARANG, 18 Jun – Kecemerlangan pendidikan Terengganu terus terpahat apabila negeri ini mengekalkan status sebagai peneraju keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) buat tahun ketujuh berturut-turut selepas merekodkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.18 bagi peperiksaan STPM 2025.

Pencapaian itu bukan sahaja mengatasi PNGK kebangsaan sebanyak 2.88, malah menjadi rekod terbaik negeri dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, sekali gus membuktikan keberkesanan usaha berterusan meningkatkan mutu pendidikan di semua peringkat.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, prestasi negeri menunjukkan peningkatan konsisten daripada PNGK 3.03 pada tahun 2021 kepada 3.04 (2022), 3.11 (2023), 3.12 (2024) dan 3.18 pada tahun ini.

Menurut beliau, pencapaian tersebut turut disertai kejayaan besar dalam merapatkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Jurang perbezaan pencapaian calon mengikut lokasi berjaya dikurangkan secara drastik daripada 0.13 pada tahun 2024 kepada hanya 0.03 pada tahun 2025,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2025 Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 112 calon berjaya memperoleh keputusan cemerlang semua A dengan PNGK 4.00, meningkat berbanding 110 calon pada tahun lalu.

Katanya, perkembangan itu meneruskan trend positif berbanding 55 calon pada 2020, 64 calon (2021), 112 calon (2022) dan 79 calon (2023).

Dalam pada itu, kesemua 46 sekolah yang menawarkan Tingkatan Enam di Terengganu mencatatkan kelulusan penuh 100 peratus.

“Sebanyak 36 sekolah berjaya mencapai sasaran PNGK 3.00 ke atas berbanding 34 sekolah pada tahun sebelumnya,” ujarnya.

SMK Bukit Sawa muncul sekolah terbaik negeri apabila merekodkan 42.50 peratus calon memperoleh semua A, sekali gus menduduki tangga teratas dalam senarai 10 sekolah terbaik Terengganu.

Tempat kedua disandang Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Kemaman dengan 35 peratus calon memperoleh semua A, diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu dengan 31.25 peratus.

Daerah Besut pula mendominasi senarai sekolah terbaik negeri apabila empat sekolah dari daerah itu berjaya tersenarai, iaitu SMKA Nurul Ittifaq (28.57 peratus), Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif (25.81 peratus), SMK Tengku Mahmud (25 peratus) dan SMK Bukit Payong (20.45 peratus).

Turut mencatat prestasi membanggakan ialah SMK Badrul Alam Shah, Kemaman (23.91 peratus), SMK Menerong, Hulu Terengganu (22.22 peratus) dan SMK Saujana, Setiu (21.43 peratus).

Bagi pencapaian PNGK sekolah pula, SMK Bukit Sawa mendahului dengan 3.59, diikuti SMK Kuala Telemong (3.53), SMKA Nurul Ittifaq (3.52), SMK Bukit Payong (3.49), SM Imtiaz YT Kemaman (3.47) dan SMA Maarif (3.42).

Seramai 1,962 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2025 di 46 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan