Terpaksalah Keluar Pekan Tadah Bekalan Air


Oleh: Khairan Mat Jusoh

MARANG, 27 Mac - Sebuah keluarga di Tambak Baru, Wakaf Tapai di sini, terpaksa keluar ke pekan untuk menadah bekalan air akibat mengalami masalah kerosakan enjin air telaga di rumah mereka.

Perkara itu menyebabkan Mohamed Tambi, 76, yang tinggal bersama anak menantu serta cucu-cucunya sukar untuk melakukan aktiviti-aktiviti seharian.

Lebih memilukan apabila didapati dinding kediaman mereka turut berlubang, kelengkapan rumah tidak mencukupi dan ditambah lagi dengan keadaan tuan rumah yang terlantar keuzuran kerana mengalami masalah usus.


Sehubungan itu, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan yang mendapat maklumat daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tambak Baru segera mengambil tindakan dengan membeli dan menyerahkan enjin air baharu serta sedikit sumbangan kepada keluarga tersebut.

Dalam tumpuan sama, ADUN Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong berkata, pemasangan dilakukan secara gotong-royong oleh MPKK.

"Alhamdulillah, masalah ini dapat diselesaikan dengan kadar waktu yang sangat cepat.

"Sebagai kerajaan, kita telah pun mengambil tindakan untuk membantu keluarga tersebut bagi menyelesaikan masalah kediaman mereka," katanya.


Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita baru-baru ini (22 Mac), mengulas tentang hal itu.

"Insya-Allah, semoga rakyat kita yang kesusahan dipermudahkan Allah," tambahnya.

Tag: