Teruskan Bekerja, Jadikan Terengganu Negeri Terbaik


Ir Saiful Azmi


Oleh: Ahmad Syahid Adnan

KEMAMAN – Semua pihak harus memainkan peranan di lapangan masing-masing supaya negeri Terengganu terus maju ke hadapan sekaligus memberi banyak manfaat kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, gerak kerja pastinya akan lebih berkualiti setelah melalui tarbiah di bulan Ramadan dan Syawal.

"Saya berharap agar semua pihak dapat memainkan peranan dalam mencapai cita-cita Negeri Terengganu yang Maju, Berkat dan Sejahtera.

"Sudah pasti, kita akan meneruskan kehidupan (dalam menerajui pemerintahan) bagi memastikan kerja kita (sentiasa) dalam rahmat-Nya," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan dalam Majlis Aidilfitri peringkat Parlimen Kemaman 1440H/2019M di Dataran Pejabat Tanah dan Daerah Kemaman, di sini kelmarin.


Hadir sama, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Abdul Hamid, Pegawai Khas Hal Ehwal Agama Pejabat Menteri Besar Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek, ADUN Air Putih, Abdul Razak Ibrahim serta Pegawai Penyelaras Dewan Undangan negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh.

Tambah beliau, berada dalam sambutan aidilfitri juga harus dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat bagi bermuhasabah dan menyusun kembali organisasi agar terus bergerak ke hadapan untuk mencapai cita-cita negeri maju.

"Dalam kesempatan ini juga, saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat seluruh warga Kemaman, khususnya sahabat-sahabat dari DUN Kemasik," tambahnya.


Tag: